BERITA SEMASA

Bumbung runtuh: Pesakit rawatan dialisis Hospital Pasir Mas dirujuk ke fasiliti lain

TANAH MERAH – Pesakit yang menerima rawatan dialisis di Pusat Dialisis Hospital Pasir Mas akan dirujuk ke hospital dan pusat dialisis berdekatan.

Menurut Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, pertukaran itu susulan runtuhan bumbung premis kemudahan tersebut, malam tadi, lapor BH Online.

Jelasnya, Pengarah Hospital Pasir Mas sudah diarahkan supaya memberi keutamaan kepada pesakit yang menerima rawatan dialisis di situ mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Buat masa ini, katanya, 60 pesakit yang menerima rawatan dialisis di Hospital Pasir Mas terbabit dalam pertukaran berkenaan.

“Justeru, pesakit tidak perlu risau berkenaan perkara ini dan walaupun pada masa sama mungkin ada kesulitan, kami cuba minimumkan bagi memberi rawatan yang terbaik kepada mereka.

“Buat sementara waktu, pusat dialisis di hospital ini tidak beroperasi dan jangkaan tempoh untuk beroperasi semula adalah bergantung kepada keadaan tahap kerosakan runtuhan bumbung bangunan pusat dialisis itu,” katanya selepas merasmikan Program Khatan Perdana 2025 Peringkat Hospital Tanah Merah di Lobi Utama Bangunan Emerald Hospital Tanah Merah, di sini hari ini.

Berkenaan insiden runtuhan berkenaan, Dr Zaini berkata, pihaknya masih membuat siasatan berkenaan punca kejadian.

“Saya tidak mahu mendahului siasatan dan pada masa sama, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) serta mana-mana agensi yang terbabit juga akan membuat pemantauan dan melakukan siasatan berhubung laporan insiden yang berlaku,” katanya lagi.

Dalam insiden malam tadi, bumbung bangunan pusat dialisis berkenaan runtuh pada kira-kira pukul 11.45 malam.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang terbabit dalam kejadian yang membabitkan runtuhan seluas 108 meter persegi tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button