JENAYAH & MAHKAMAH

Bukit Aman siasat kaitan dua sindiket vape campur fentanyl

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan wujud kaitan antara dua sindiket yang terlibat dalam pengedaran produk vape mengandungi fentanyl dan furanyl fentanyl, susulan kebimbangan peningkatan kemasukan dadah sintetik berbahaya itu ke negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan kini tertumpu kepada kemungkinan kedua-dua sindiket mempunyai hubungan termasuk membabitkan rangkaian rentas sempadan.

Menurutnya, pihak polis masih belum mengenal pasti bagaimana kartrij vape mengandungi furanyl fentanyl dibawa masuk ke dalam negara.

“Berdasarkan siasatan awal, bahan itu dipercayai diseludup masuk secara tidak sah, termasuk melalui penghantaran yang diisytihar secara palsu,” memetik NST online.

Hussein berkata, furanyl fentanyl merupakan bahan yang sangat berbahaya kerana kekuatannya dilaporkan sehingga 100 kali ganda berbanding morfin dan boleh menyebabkan kematian walaupun dalam dos kecil.

“Pihaknya kini giat mengesan dalang utama yang membawa masuk bahan tersebut ke pasaran tempatan.

“Kes terdahulu melibatkan vape mengandungi fentanyl dipercayai mempunyai kaitan dengan sumber dari Thailand.

“Kita sedang meneliti sama ada sindiket sama terlibat dalam kedua-dua kes ini,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerjasama risikan bersama agensi penguat kuasa luar negara akan terus diperkukuh bagi menumpaskan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, minggu lalu polis berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk fentanyl yang dikenali sebagai “dadah zombi” menerusi serbuan di Lembah Klang.

Sebanyak 400 kartrij vape dirampas bersama lebih setengah tan pelbagai jenis dadah bernilai RM31.57 juta.

Rampasan itu turut melibatkan 616.12 kilogram methamphetamine dan 6.4 kilogram Erimin 5, yang dipercayai untuk pasaran melibatkan kira-kira 3.12 juta pengguna.

Siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut dipercayai diperoleh daripada rangkaian di kawasan Segi Tiga Emas.

Baru-baru ini, Bukit Aman turut mendedahkan penemuan cecair vape mengandungi furanyl fentanyl menerusi Op Vape 1.0 di sekitar Sentul dan Cheras.

Dalam operasi itu, polis merampas sembilan botol cecair dadah seberat 16.86 kilogram.

Hussein berkata, penemuan tersebut menunjukkan taktik baharu sindiket yang menggunakan vape sebagai medium untuk mengedar dadah ke pasaran tempatan.

Beliau turut memberi amaran bahawa penggunaan vape bercampur bahan terlarang boleh mengundang risiko kesihatan serius, khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button