‘Bersedekah sebelum terlambat’ – Raudzah Roslan
SHAH ALAM – Isteri kepada pendakwah dan penulis prolifik, Allahyarham Prof Muhd Kamil Ibrahim mengingatkan umat Islam agar memperbanyakkan sedekah ketika hidup.
Melalui satu hantaran di Facebook, Raudzah Roslan yang juga penulis memberi peringatan tersebut ketika menziarahi kubur arwah suaminya.
“Banyakkan bersedekah. Ketika hidup sebelum sampai ajal, ketika sihat mahupun di kala sakit terlantar, ketika senang dan di waktu sukar, ketika berpeluang sebelum sampai waktu sesal,” tulisnya.
Pesanan itu mengajak umat Islam memanfaatkan setiap peluang yang Allah kurniakan untuk memberi dan berkongsi rezeki sebelum ajal menjemput.

Beliau turut memetik terjemahan ayat daripada Surah Al-Munafiqun, ayat 10, yang menzahirkan penyesalan seorang hamba apabila kematian sudah hampir:
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ‘Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh’.”
Raudzah menegaskan, amalan sedekah bukan hanya terbatas kepada mereka yang berada dalam keadaan lapang dan sihat, sebaliknya ia wajar dilakukan pada setiap keadaan sama ada susah atau senang, sihat atau sakit sebagai bekalan sebelum menghadapi detik yang tidak dapat dielakkan.
Terdahulu, Allahyarham Prof Muhd Kamil meninggal dunia pada 14 Januari 2025 selepas berdepan komplikasi akibat penyakit buah pinggang dan kanser paru-paru yang dihadapi.
Pasangan suami isteri itu banyak menghasilkan buku-buku dakwah yang mengajak umat Islam mengingati kematian yang hakikatnya sangat dekat dengan diri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



