BERITA SEMASA

Universiti Al-Azhar setuju kurangkan yuran pelajar perubatan tajaan Mara – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Universiti Al-Azhar bersetuju untuk mengurangkan yuran pengajian bagi pelajar perubatan tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) daripada RM150,000 kepada RM85,000 bagi tempoh lima tahun pengajian.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut adalah hasil rundingan yang telah dijalankan sejak empat bulan lalu bersama institusi berprestij itu.

Asyraf Wajdi berkata, beliau akan mengarahkan pihak Mara untuk segera menyiapkan kertas cadangan bagi dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum diangkat ke peringkat Majlis Jemaah Menteri.

“InsyaAllah saya akan mengarahkan Mara untuk segera siapkan kertas cadangan kepada TPM Zahid Hamidi untuk diangkat kepada Majlis Jemaah Menteri untuk membolehkan Mara kembali menaja pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook yang turut disertakan dengan video perbincangan bersama pihak Universiti Al-Azhar yang dimuat naik di platform TikTok.

Terdahulu, Asyraf Wajdi telah memohon diskaun yuran bagi pelajar Melayu dan Bumiputera di bawah tajaannya untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Permintaan itu dikemukakan kepada Presiden Universiti Al-Azhar, Prof Dr Salamah Abu Daud, ketika kunjungan ke Pejabat Pertubuhan Alumni Al-Azhar Antarabangsa di Kaherah, Mesir pada Februari lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button