Tiada rombakan Kabinet, hanya isi kekosongan – Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan tiada rombakan Kabinet secara besar-besaran akan dilakukan dalam masa terdekat, sebaliknya hanya pengisian kekosongan portfolio tertentu.
Menurut Perdana Menteri, rombakan menyeluruh tidak dalam perancangan kerana Kabinet sedia ada hanya berbaki kira-kira setahun setengah untuk berfungsi sebelum penggal pentadbiran berakhir.
“Nak rombak? Saya tanya, nak rombak ke? Kita perlu mengisi beberapa kekosongan, tapi rombakan itu ada masa yang panjang.
“Kabinet ini hanya akan berfungsi lebih setahun setengah. Saya tak fikir rombakan besar cuma apa langkah yang perlu diambil, tapi mengisi kekosongan itu ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan model kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran Perodua, QV-E, di sini, hari ini.
Bermula esok, empat portfolio Kabinet akan berdepan kekosongan susulan peletakan jawatan beberapa menteri sebelum ini.
Jawatan Menteri Ekonomi masih belum diisi selepas Datuk Seri Rafizi Ramli melepaskan portfolio berkenaan, manakala Kementerian Alam Sekitar dan Kelestarian Alam turut kosong sejak pengunduran Nik Nazmi Nik Ahmad pada awal Julai 2025.
Selain itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick turut meletakkan jawatan bulan lalu, sementara portfolio Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dijangka kosong apabila tempoh sebagai Senator bagi penyandangnya, Tengku Zafrul Abdul Aziz, tamat esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








