KUSKOP bantu lima syarikat Malaysia meterai urus niaga hampir RM2 bilion di Mekah
PUTRAJAYA – Lima syarikat Malaysia bakal memuktamadkan urus niaga bersama rakan niaga masing-masing di Mekah dengan jumlah keseluruhan nilai hampir RM2 bilion sempena Makkah Halal Forum 2026 yang berlangsung dari 14 hingga 16 Februari ini di Arab Saudi.
Syarikat terlibat ialah Jaman Tory Group Sdn. Bhd., A&A Empire Sdn. Bhd. (Bokitta), Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn. Bhd. dan Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn. Bhd.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, penyertaan kali ini bukan sekadar pameran atau penerokaan pasaran semata-mata, sebaliknya melibatkan pemadanan perniagaan secara menyeluruh sehingga berjaya direalisasikan.
“Ini bukan setakat pergi buat pameran dan penerokaan, tapi buat pertama kalinya, KUSKOP melalui Bank Rakyat melaksanakan program bimbingan dan pengupayaan (‘hand holding’) memadankan perniagaan Malaysia dengan pasaran eksport sehingga berjaya.
“Program kali ini berjaya membantu syarikat Malaysia merealisasikan potensi nilai jualan yang bernilai hampir RM2 bilion melalui platform tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Arab Saudi yang menerima kira-kira 30 juta pelawat antarabangsa setiap tahun merupakan pasaran strategik serta pintu masuk penting untuk memperkenalkan produk dan jenama Malaysia kepada komuniti global, khususnya dalam ekosistem halal yang berkembang pesat.
Dalam pada itu, Bank Rakyat sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyokong inisiatif berkenaan melalui penyediaan kemudahan pembiayaan bagi memperkukuh keupayaan kewangan syarikat terlibat dalam melaksanakan pengembangan pasaran ke Timur Tengah.
Kelima-lima syarikat tersebut merupakan pelanggan sedia ada dalam ekosistem Bank Rakyat dan dipilih berdasarkan tahap kesediaan eksport serta potensi pertumbuhan di peringkat antarabangsa.
Program rintis itu akan diteruskan bagi membimbing perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia lain menembusi pasaran domestik dan luar negara sejajar dengan Strategi ABCD yang diperkenalkan oleh menteri berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








