Steven Sim santuni 550 warga KUSKOP, edar limau mandarin sempena Tahun Baharu Cina
PUTRAJAYA – Suasana sambutan Tahun Baharu Cina mula dirasai di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) apabila Menterinya, Steven Sim Chee Keong turun padang mengedarkan limau mandarin kepada hampir 550 warga kerja kementerian itu, baru-baru ini.
Beliau bukan sahaja hadir menyampaikan ucapan perayaan, malah bergerak dari satu bahagian ke satu bahagian serta unit kementerian untuk bertemu sendiri para penjawat awam dan menyampaikan buah limau tersebut secara peribadi.

Menurut beliau, pemberian limau mandarin bukan sekadar simbol sambutan perayaan, sebaliknya membawa makna lebih mendalam.
“Pemberian limau mandarin bukan sekadar tradisi perayaan, malah melambangkan doa, kemakmuran dan harapan yang baik untuk tahun baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam budaya masyarakat Cina, buah limau sering dikaitkan dengan tuah dan rezeki kerana sebutannya hampir sama dengan perkataan yang membawa maksud keberuntungan dan emas.
“Simbolik ini mencerminkan aspirasi agar seluruh warga kementerian dikurniakan kesejahteraan, kesihatan dan kejayaan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kehadiran Tahun Kuda kali ini sebagai simbol tenaga, keberanian dan daya tahan tinggi yang wajar diterapkan dalam usaha memperkukuh serta memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Sehubungan itu, Steven Sim berharap seluruh warga KUSKOP dapat melangkah ke tahun baharu dengan semangat lebih kental, berfikiran progresif dan terus komited memperkukuh ekosistem keusahawanan negara demi kemakmuran bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















