Shila Amzah diserang Amy Search
KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal tanah air, Shila Amzah akhirnya mendedahkan individu yang menyerangnya sewaktu sesi latihan konsert baru-baru ini adalah penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search.
Pengesahan itu sekali gus menamatkan spekulasi dalam kalangan netizen yang sebelum ini meneka beberapa nama termasuk Datuk Awie dan Ella.
Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, turut menyatakan rasa simpati terhadap Awie yang secara tidak adil dikaitkan dengan kontroversi tersebut.

“Apa yang pasti, bukan Kak Ella atau Datuk Awie. Bukan juga nama-nama lain yang terlibat dalam konsert itu. Siapa yang kaitkan nama Awie, tolonglah berhenti. Individu itu ialah bapa kepada Nabila Huda (Amy Search),” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Shila turut berkongsi bahawa insiden serangan yang berlaku di hadapan hampir 40 orang ketika sesi latihan itu telah memberi kesan emosi yang mendalam terhadap dirinya sehingga kini.
“Saya masih terkesan dengan kejadian tersebut sehingga hari ini. Perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dalam industri muzik. Amy adalah seorang yang sangat dihormati dan menjadi idola ramai. Jadi impaknya lebih besar buat saya,” ujarnya.
Menurut Shila, laporan polis yang dibuatnya bukan bertujuan untuk memburukkan mana-mana pihak tetapi demi keselamatan dan sebagai langkah pencegahan.
“Tujuan saya membuat laporan polis bukan hanya untuk jaga keselamatan diri, tetapi juga untuk memastikan perkara ini tidak melarat atau berlaku lagi di luar kawalan,” jelasnya.
Ditanya sama ada beliau akan menarik balik laporan polis dan berdamai, Shila menjawab bahawa segalanya bergantung kepada perubahan sikap Amy Search.
“Sejujurnya saya berada di tempat yang sangat sukar. Bukan bermaksud saya ego dan enggan berdamai. Cuma saya nak lihat dulu, adakah akan ada perubahan dari segi sikap. Insya-Allah kalau ada, siapa saja yang tak lembut hati,” jelasnya lagi.
BACA : Awie minta Amy Search jelaskan kontroversi
Shila juga belum bersedia untuk bersemuka secara langsung dengan Amy memandangkan trauma yang masih belum pulih.
“Kesan insiden ini sangat besar pada diri saya. Saya mohon masa untuk pulih sepenuhnya daripada situasi ini,” katanya dengan nada sebak.
Terdahulu, Shila mencetuskan kejutan apabila mendakwa dirinya ‘diserang’ oleh seorang penyanyi legenda sewaktu latihan Konsert Ulang Tahun Ke-20 Mr D.I.Y di Stadium Merdeka.
Susulan itu, beliau telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa telah mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Perkembangan kes tersebut menjadi perhatian ramai, memandangkan kedua-dua figura itu merupakan nama besar dalam industri hiburan tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







