BERITA SEMASA

Semarak Jiwa Merdeka tonjol semangat patriotik warga KPKT

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan dengan penganjuran Program Semarak Jiwa Merdeka yang berlangsung meriah di perkarangan kementerian itu, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang turut menzahirkan penghargaan terhadap penglibatan warga kementerian serta agensi-agensi di bawahnya termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, semangat cintakan negara perlu sentiasa disuburkan dalam kalangan rakyat dan tidak seharusnya terbatas kepada bulan Ogos semata-mata.

“Hari ini kita saksikan semangat patriotik yang luar biasa ditunjukkan oleh seluruh warga KPKT yang hadir daripada pelbagai jabatan dan agensi.

“Semangat cintakan tanah air ini perlu ditanam dalam jiwa setiap hari, bukan hanya pada bulan kemerdekaan. Malaysia MADANI menuntut rakyatnya bersatu, berkhidmat dengan jujur, ikhlas dan berintegriti,” katanya lagi.

Kor Ming berkata, KPKT berasa amat bersyukur apabila dinobatkan sebagai kementerian berprestasi paling tinggi tahun lalu serta menerima Anugerah Pembangunan Negara, sekali gus membuktikan komitmen tinggi kementerian dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat.

“Kita akan memperhebatkan lagi usaha bukan sahaja mempertahankan pencapaian, tetapi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan untuk rakyat dan negara,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), KPKT diberikan mandat menerajui dua agenda utama negara iaitu Reformasi Perumahan dan Reformasi Pembersihan Awam.

Menurutnya, antara inisiatif yang dirancang termasuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun, memperkenalkan pembersihan pada waktu malam, penggunaan lori sampah elektrik (EV), pelaksanaan sistem kitar semula serta peningkatan kadar kutipan sampah.

“Kita mahu pastikan setiap rakyat memiliki rumah mampu milik yang berdaya huni. Dalam masa yang sama, kebersihan negara juga perlu diberi keutamaan.

“Pembersihan waktu malam akan kita laksanakan di kawasan strategik seperti Bukit Bintang dan Jalan Alor sebagai projek rintis.

“Ini bukan sahaja mengelakkan kesesakan lalu lintas, tetapi lebih sesuai dengan cuaca dan lebih baik untuk kesihatan pekerja,” katanya lagi.

Kor Ming turut menyifatkan para pekerja pembersihan sebagai wira negara yang perlu diberi penghargaan sewajarnya kerana komitmen mereka menjaga imej dan kebersihan bandar.

“Ketika rakyat tidur, mereka keluar bekerja. Kita telah adakan majlis penghargaan untuk mereka minggu lalu kerana mereka juga adalah wira negara yang tidak didendangkan,” katanya lagi.

Program Semarak Jiwa Merdeka itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti patriotik yang melibatkan penyertaan aktif warga kementerian, sebagai sebahagian daripada sambutan Bulan Kebangsaan 2025.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button