
PSM desak Akta Keganasan Rumah Tangga dipinda untuk llindungi pasangan tidak berkahwin
PUTRAJAYA – Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak kerajaan supaya meminda Akta Keganasan Rumah Tangga (1994) bagi memberi perlindungan yang sama kepada pasangan yang tidak berkahwin apabila melibatkan kes-kes keganasan.
Desakan itu disampaikan PSM melalui satu serahan memorandum kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), di bangunan kementerian itu di sini hari ini.
PSM yang diwakili oleh Tamyra yang juga wakil dari Women’s Aid Organisation (WAO) dan Amanda Louis yang juga Wakil All Women’s Action Society (AWAM) mendakwa, kes-kes keganasan yang melibatkan pasangan di luar ikatan perkahwinan tidak diiktiraf secara rasmi di negara ini kerana tidak dilindungi di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga sedia ada.

“Keadaan ini menyebabkan mangsa sukar mendapatkan perlindungan dan keadilan yang sewajarnya, jadi kami mendesak kerajaan mengambil langkah konkrit bagi memastikan keselamatan wanita terjamin tidak kira sama ada dalam hubungan rumah tangga atau tidak.
“Pindaan undang-undang dan perubahan budaya yang lebih inklusif diperlukan untuk menangani masalah ini secara menyeluruh,” katanya.
Selain cadangan pindaan akta, PSM turut mengusulkan agar kerajaan meningkatkan pembiayaan dan bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan kaunseling, perlindungan, dan bantuan guaman kepada mangsa keganasan pasangan di luar perkahwinan.
“Kami menekankan keperluan untuk memperkukuh kempen kesedaran dan pendidikan bagi membendung penyebaran kandungan misoginis dalam talian yang menyemarakkan kebencian dan keganasan terhadap wanita,” ujarnya kepada media hari ini.
Menurut PSM, laporan WAO pada Januari 2025 menunjukkan sebanyak 17 panggilan dan mesej berkaitan keganasan pasangan intim diterima.
“Walaupun jumlah itu hanya mewakili 4 peratus daripada keseluruhan aduan keganasan rumah tangga, angka tersebut tetap membimbangkan kerana ia membuktikan penderaan dalam hubungan masih berlaku secara meluas dan memberi kesan mendalam kepada mangsa.
“Keganasan pasangan intim boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk penderaan fizikal, mental, reproduktif, dan kewangan,” katanya.
PSM turut menegaskan bahawa keganasan terhadap wanita harus ditangani dengan segera dan menuntut perubahan dalam persepsi lelaki terhadap wanita.
“Kita perlu mengubah naratif ini, keganasan pasangan intim bukan isu peribadi, ia adalah masalah masyarakat yang memerlukan tindakan kolektif,” tegasnya.
Turut hadir dalam penyerahan memorendum itu adalah NGO, Kemban Koletif.
Memorandum itu turut disokong oleh 23 organisasi antaranya Women’s Aid Organisation (WAO), Family Frontiers, All Women’s Action Society (AWAM) dan BERSIH termasuk sokongan daripada lapan individu.
PSM berharap kerajaan akan memberi perhatian segera terhadap memorandum itu dan mengambil tindakan bagi melindungi wanita daripada keganasan rumah tangga dan juga mangsa keganasan pasangan di luar pernikahan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |