BERITA SEMASA

Prof Dr Mas Fawzi dilantik Naib Canselor Ke-5 UTHM

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Prof Datuk Ir. Dr Ruzairi Abdul Rahim yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya sebelum ini.

Dr Mas Fawzi, 51, merupakan tokoh akademik yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Naib Canselor UTHM
Poster pelantikan Dr Mas Fawzi menjawat jawatan tertinggi di UTHM.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektromekanikal dari University of Manchester Institute of Science and Technology, United Kingdom pada tahun 1997 diikuti Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Penyelidikan) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2007.

Kemudian beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar Hidupan dan Bumi dari University of Tokushima, Jepun pada 2009.

Sepanjang kerjayanya di UTHM, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan pentadbiran termasuk Timbalan Dekan, Pengarah Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko, serta Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) sebelum dilantik ke jawatan tertinggi universiti itu.

Beliau juga mempunyai pengalaman industri sebagai Jurutera Kalibrasi di Samsung Electronics Display Sdn Bhd dan Jurutera Industri di Sharp-Roxy Electronics Sdn Bhd sebelum menyertai perkhidmatan awam pada 2004.

KPT dalam kenyataannya menyifatkan pelantikan Dr Mas Fawzi sebagai tepat pada masanya.

“Kementerian yakin, gabungan pengalaman pentadbiran dan lapangan yang beliau miliki adalah merupakan aset berharga yang akan membantu beliau menerajui UTHM menjadi pusat ilmu yang dihormati, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa,” menurut kenyataan tersebut.

KPT turut merakamkan penghargaan kepada bekas Naib Canselor UTHM, Dr Ruzairi atas jasa dan bakti beliau dalam menerajui universiti tersebut sebelum ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button