KUSKOP hargai sokongan PM, umum 10 inisiatif bantu PMKS
PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima cadangan kementerian itu bagi memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pengumuman itu merangkumi 10 inisiatif strategik yang memberi kelegaan segera kepada PMKS, khususnya dalam meningkatkan aliran tunai dan memastikan kelangsungan operasi perniagaan.
“Antara inisiatif utama ialah pembiayaan tambahan RM2.5 bilion daripada RM30 bilion peruntukan Belanjawan 2026, dengan separuh diperuntukkan kepada PMKS yang belum pernah menerima pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bayaran balik cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2023 dan 2024 akan diselesaikan sepenuhnya pada tahun ini.
“Selain itu, pengusaha sektor makanan ternakan, baja dan racun dikecualikan daripada Cukai Jualan.
Bagi PMKS baharu yang menyewa premis perniagaan, mereka akan dikecualikan daripada Cukai Perkhidmatan selama setahun manakala PMKS sedia ada akan menikmati pengurangan daripada lapan peratus kepada enam peratus.
“Had nilai ambang pendaftaran perkhidmatan pajakan atau sewaan juga dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM1.5 juta.
“Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada PMKS yang menyewa ruang komersial, khususnya di kawasan bandar,” katanya lagi.
Selain itu, pengecualian Cukai Perkhidmatan selama dua tahun diberikan kepada sektor pembinaan bermula 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2027, termasuk pengecualian penuh bagi pembinaan rumah ibadat seperti masjid, surau, kuil, gereja dan tokong.
Denda pelaksanaan e-Invois Fasa 4 bagi perusahaan dengan nilai jualan RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan sehingga 31 Disember 2026.
Seramai 10,000 peniaga kecil termasuk koperasi di luar bandar akan didaftarkan ke dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
KUSKOP turut menyalurkan peruntukan tambahan RM2.4 bilion bagi projek kecil kendalian kontraktor PMKS berstatus G1 hingga G4 yang akan dimulakan serta-merta.
Program Pengakuan Sukarela Duti Setem pula dijalankan selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.
“Kesemua inisiatif bernilai hampir RM80 bilion ini berfungsi sebagai suntikan sokongan menyeluruh kepada PMKS, selaras strategi ABCD KUSKOP iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran,” katanya lagi
Steven turut berkata, kementerian komited memperkasakan perkhidmatan tanpa kertas serta melaksanakan reformasi bagi mempermudah proses birokrasi, sejajar dengan aspirasi kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















