Skim BARAKAT tunjuk momentum memberangsangkan – KUSKOP
PUTRAJAYA – Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berjaya menunjukkan momentum memberangsangkan.
Sejak dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim pada 5 Februari lalu, skim yang bertujuan memperkukuh agenda pemerkasaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) itu telah menerima 6,044 permohonan bernilai RM52 juta dari seluruh negara setakat 16 Mac.
Daripada jumlah itu, kata KUSKOP, sebanyak 5,590 permohonan telah diluluskan dengan nilai kelulusan mencecah RM35 juta.
“Sambutan terhadap skim ini amat menggalakkan apabila para usahawan khususnya dari kalangan perusahaan mikro menunjukkan minat yang tinggi terhadap skim ini sejak ia dilancarkan.
“Inisiatif ini ternyata telah membantu ramai usahawan mikro untuk mendapatkan pembiayaan segera bagi menampung permintaan yang meningkat menjelang musim perayaan,” kata KUSKOP dalam satu kenyataan, hari ini.
KUSKOP berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan tekad Kerajaan untuk mempermudah birokrasi dan mempercepat akses modal kepada usahawan.
“Ia selaras dengan Strategi A.B.C.D KUSKOP yang memberikan tumpuan kepada Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses kepada Pasaran.
“KUSKOP komited untuk terus menambah baik mekanisme penyampaian skim pembiayaan sedia ada bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat sekali gus mengukuhkan daya tahan ekonomi negara secara menyeluruh,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








