BERITA SEMASA

Konvoi KMJG satukan masyarakat pelbagai kaum di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR — Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Kuala Selangor berlangsung dengan meriah apabila mendapat sambutan hangat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri merangkap Pegawai Penyelaras DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri, turut hadir bagi menyantuni masyarakat yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memainkan peranan dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, sekurang-kurangnya satu di setiap kediaman.

Kuala Selangor
Mohd Yahya Mat Sahri (kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil peserta di ‘Pit Stop’ 3 KMJG di Dewan Opera, Pasir Penambang.

“Saya menyeru semua penduduk, sekurang-kurangnya pasang satu bendera di rumah masing-masing.

“Tanda kita sayang negara. Jabatan-jabatan kerajaan pun sama, seperti balai polis, pejabat tanah dan sebagainya pastikan bangunan dan kawasan mereka dihiasi dengan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil peserta di ‘Pit Stop’ 3 KMJG di Dewan Opera, Pasir Penambang, di sini hari ini.

Kuala Selangor

Mohd Yahya yang lebih dikenali sebagai Pak Ya juga berkesempatan mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai, khususnya di kawasan Pasar Pasir Penambang.

Sebagai rekod, KMJG anjuran bersama pelbagai agensi kerajaan dan NGO Komuniti MADANI melibatkan penyertaan 26 jabatan dan pertubuhan dari seluruh daerah itu.

Konvoi berwarna-warni dengan kibaran Jalur Gemilang itu membawa mesej perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang bakal tiba kurang sebulan lagi.

Selain itu, KMJG akan diteruskan ke beberapa lokasi terpilih sekitar daerah Kuala Selangor dengan pelbagai aktiviti komuniti turut dijalankan sepanjang program.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button