Kerajaan main peranan wujudkan ekosistem bantu industri berinovasi, berkembang dalam era digital – Gobind
KUALA LUMPUR – Kerajaan memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran kondusif agar industri dapat terus berinovasi dan berkembang dalam landskap digital pada masa ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata,
meskipun kerajaan memahami kepentingan kemajuan teknologi, ia turut menyedari bahawa industri memerlukan asas, kemudahan dan peralatan tertentu bagi menyokong penerapan serta pembangunan teknologi tersebut.
“Kita bercakap mengenai cara untuk memperkasakan industri supaya mereka boleh memanfaatkan ekosistem ini yang kita bina untuk menyampaikan teknologi yang kita perlukan.
“Langkah ini penting supaya kita dapat melihat penyelesaian kepada masalah masa lalu yang boleh diselesaikan teknologi hari ini,” katanya berucap pada Persidangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan (AI) di ibu negara, hari ini.
Persidangan anjuran Asia School of Business itu menghimpunkan perintis AI global, pemain industri, inovator serantau dan penggubal dasar untuk meneroka masa depan kepimpinan dalam dunia yang dikuasakan AI.
Gobind menambah, walaupun kerajaan akan menyokong pertumbuhan industri, ia masih memerlukan garis panduan dan cadangan daripada industri untuk membina ekosistem itu.
Justeru, katanya, Kementerian Digital akan membangunkan strategi bagi bidang utama seperti infrastruktur, keselamatan, kepercayaan dan bakat dalam segmen digital.
“Jika semua bekerjasama, kita bukan saja membina ekosistem yang akan membantu setiap orang daripada kita, tetapi akhirnya kita juga memastikan tiada siapa akan ketinggalan dalam dunia baharu transformasi digital baharu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








