BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kenderaan perisai dibom, 7 askar Israel maut di Gaza Selatan

BAITULMAQDIS – Tujuh anggota tentera Israel terbunuh dalam satu insiden berdarah di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza apabila kenderaan perisai yang mereka naiki terkena letupan bom buatan sendiri (IED) oleh pejuang Hamas, semalam.

Insiden itu menjadi antara serangan yang paling meragut nyawa dalam kalangan pasukan tentera rejim Zionis sejak beberapa bulan lalu.

Memetik laporan The Times of Israel, mangsa dikenal pasti sebagai Leftenan Matan Shai Yashinovski, 21, dari Kfar Yona; Sarjan Ronel Ben-Moshe, 20, dari Rehovot; Sarjan Niv Radia, 20, dari Elyakhin; Sarjan Ronen Shapiro, 19, dari Mazkeret Batya; Sarjan Shahar Manoav, 21, dari Ashkelon; Sarjan Maayan Baruch Pearlstein, 20, dari Eshhar; dan Sarjan Alon Davidov, 21, dari Kiryat Yam.

Mereka merupakan anggota Batalion Kejuruteraan Tempur 605 dan sedang melaksanakan operasi ketenteraan ketika serangan itu berlaku.

Hamas dalam satu kenyataan pantas mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut dengan rakaman video serangan kini tular di media sosial.

Video berkenaan memaparkan seorang pejuang Hamas menghampiri kenderaan perisai dan mencampakkan sejenis bom melalui bukaan menara pada kenderaan tersebut.

Menurut IDF, insiden itu meningkatkan angka kematian tentera Israel kepada 440 orang sejak serangan darat ke atas Gaza dan kawasan bersempadan dengan wilayah berkenaan.

Dalam kejadian berasingan, dua lagi anggota Batalion 605 IDF dilaporkan cedera, seorang parah dan seorang lagi cedera ringan, selepas kenderaan jentolak berperisai yang mereka kendalikan diserang peluru berpandu anti kereta kebal (RPG).

Serangan maut ini sekali lagi menyerlahkan betapa sengit dan berdarahnya konflik berpanjangan antara tentera Israel dan pejuang Palestin di Gaza yang terus menuntut korban jiwa dari kedua-dua belah pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button