BERITA SEMASA

Kenderaan hanya boleh lalu bawah tanah, Kota Madani bakal jadi bandar bebas kenderaan

PUTRAJAYA – Pembangunan Kota Madani di Presint 19, di sini, bakal menjadi mercu tanda baharu negara dengan konsep bebas kenderaan dan menekankan aspek kemampanan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

Presiden Institut Perancang Malaysia, Mazrina Abdul Khalid, memaklumkan bahawa projek pembangunan seluas 102.5 ekar ini akan merangkumi 10,000 unit kediaman kuarters kerajaan serta pelbagai kemudahan asas, termasuk sekolah, balai polis, masjid, dewan komuniti, bazar, pusat komuniti dan kemudahan TVET.

Namun begitu, jelasnya, kenderaan masih boleh digunakan tetapi pergerakannya dihadkan di bahagian bawah pembangunan sahaja.

“Kenderaan akan terus masuk ke kawasan bawah tanah sebaik tiba di Kota Madani dan akan diletakkan di kawasan parkir bertingkat bawah tanah yang disediakan iaitu setinggi tiga tingkat.

“Di bahagian atas, bermula dari aras podium (aras lima ke atas), semua kawasan adalah zon bebas kenderaan dan dikhaskan untuk pejalan kaki sahaja,” katanya ketika menyampaikan taklimat teknikal kepada media, di sini.

Tambah beliau, konsep itu direka bagi membina persekitaran yang lebih sihat dan berorientasikan komuniti, di mana semua kemudahan harian seperti sekolah, masjid, kedai, dan taman boleh dicapai hanya dengan berjalan kaki dalam radius 10 hingga 15 minit tanpa perlu bergantung kepada kenderaan bermotor.

“Bayangkan anda boleh berjalan dari rumah ke sekolah anak, ke pasar, ke taman permainan, ke pusat komuniti atau ke masjid tanpa perlu melintasi sebarang jalan raya atau laluan kenderaan,” jelasnya.

Kota Madani akan dibangunkan secara berfasa, fasa pertama melibatkan 3,000 unit kediaman bersama sekolah rendah dan fasiliti asas.

Fasa kedua merangkumi 7,000 lagi unit bersama kemudahan tambahan seperti sekolah menengah, institusi TVET dan masjid utama dan fasa ketiga akan melengkapkan keseluruhan projek.

Keseluruhan pembangunan juga akan dilengkapi dengan elemen pembangunan pintar termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk pemantauan keselamatan dan pengurusan fasiliti.

Mazrina berkata, elemen reka bentuk bandar turut mengambil kira prinsip perancangan mampan seperti penggunaan tenaga solar, tadahan air hujan, taman bumbung, kebun komuniti dan jaringan hijau menyeluruh.

Semua itu bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dan mewujudkan hubungan harmoni antara manusia, masyarakat dan alam sekitar.

“Kita tekankan nilai hubungan manusia dengan pencipta, sesama manusia dan alam.

“Kota Madani bukan hanya pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan jiwa dan komuniti,” ujarnya.

Dengan gabungan ciri-ciri komuniti sejahtera, mobiliti pintar, pembangunan vertikal bercampur, dan akses kenderaan yang dikawal sepenuhnya, Kota Madani dijangka menjadi penanda aras baharu dalam pembangunan bandar masa hadapan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button