
JIM serbu kilang haram e-waste, sarang penipuan dalam talian dikuasai warga asing
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan kegiatan pelupusan sisa elektronik haram (e-waste) dan penipuan dalam talian (online) melalui serbuan berasingan di Pulau Indah, Kajang dan ibukota, 19 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan di Pulau Indah, JIM mengesan aktiviti pelupusan sisa elektrik yang dijalankan secara haram di sebuah kilang tak berlesen.
Pemeriksaan mendapati premis terbabit dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing tanpa sebarang kebenaran sah.

“Serbuan kedua pula menyasarkan sarang penipuan dalam talian yang beroperasi dari beberapa unit kediaman mewah di sekitar Kajang dan Kuala Lumpur, dipercayai digunakan sebagai pusat aktiviti ‘scammer’ antarabangsa.
“Kedua-dua operasi diketuai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), hasil risikan intensif selama dua minggu dan maklumat yang disalurkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, serbuan di kilang haram berkenaan menyaksikan pemeriksaan ke atas 42 individu, terdiri daripada 39 warga asing dan tiga warga tempatan.
“Hasilnya, 39 warga asing ditahan, melibatkan empat lelaki dan 12 wanita warga China serta 27 lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 49 tahun.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Zakaria, serbuan kedua menyasarkan dua buah kediaman mewah di Kajang dan Kuala Lumpur yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket penipuan dalam talian.
“Seramai lapan individu ditahan, termasuk empat lelaki, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga China serta seorang lelaki warga Taiwan. Kesemua mereka berusia antara empat hingga 43 tahun.
BACA : Imigresen tumpas sindiket pelekat dan e-plks palsu, penjawat awam antara ditahan
“Mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Pihak JIM turut mengeluarkan tujuh saman kepada saksi berkaitan kes tersebut,” katanya lagi.
Kesemua tahanan warga asing ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Zakaria menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang tinggal secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan pas imigresen di negara ini.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap majikan dan individu tempatan yang menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |