JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen tumpas sindiket pelekat dan ePLKS palsu, penjawat awam antara ditahan

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan dua sindiket pemalsuan pelekat visa dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) menerusi dua serbuan berasingan di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi pertama dijalankan di dua lokasi di Jalan Ipoh hasil risikan selama dua minggu.

“Seorang lelaki Pakistan yang dipercayai dalang utama bersama tiga warga tempatan ditahan.

“Turut disita ialah 13 pelekat visa palsu dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, India, Bangladesh dan Indonesia serta peralatan mencetak.

Salah satu komputer riba yang dirampas dalam serbuan tersebut.

“Modus operandi mereka adalah meminda dan mencetak pelekat imigresen palsu untuk dijual kepada pendatang asing tanpa izin. Ini satu bentuk jenayah serius yang menggugat keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sindiket tersebut dipercayai menjual pelekat palsu antara RM100 hingga RM120 sekeping kepada pendatang asing tanpa dokumen sah.

Tambah Zakaria, JIM turut menjalankan satu lagi operasi khas di Maluri dan Petaling Jaya yang membawa kepada penahanan tiga individu termasuk dua wanita dipercayai penjawat awam.

“Mereka disyaki menguruskan PLKS palsu dengan bayaran sehingga RM11,000 seorang.

“Lebih membimbangkan, mereka ini terdiri daripada penjawat awam yang menyalahguna kedudukan untuk kepentingan peribadi. JIM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil,” tegas Zakaria.

Sebanyak 101 pasport dari pelbagai negara, telefon bimbit, dokumen syarikat serta sebuah Toyota Vellfire turut dirampas dalam serbuan itu.

Kesemua yang ditahan sedang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Beberapa individu turut diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button