BERITA SEMASA

DBKL bersihkan Jalan Gallagher susulan teguran Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR – Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melaksanakan tindakan pembersihan di kawasan Jalan Galllagher susulan teguran Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut DBKL dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini, pihaknya menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas keprihatinan Tuanku.

“DBKL komited untuk memastikan kebersihan, kesejahteraan dan keselesaan warga kota sentiasa menjadi keutamaan melalui pemantauan yang berterusan dan tindakan segera bersama agensi-agensi berkaitan,” katanya, hari ini.

Selaras dengan titah Baginda, DBKL sudah melaksanakan kerja-kerja pemangkasan pokok dan penambahbaikan landskap di sepanjang laluan Jalan Gallagher bagi meningkatkan imej persekitaran dan menjamin keselamatan awam.

Selain itu, katanya lagi, SWCorp dan Alam Flora turut diarahkan untuk segera mempertingkatkan tahap serta kekerapan kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut.

“Lokasi kutipan sampah sementara yang dikenal pasti sebagai punca utama kekotoran dan menarik kehadiran monyet juga telah diarahkan untuk ditutup.

“Tindakan pembersihan secara serta-merta telah pun dijalankan oleh SWCorp dan Alam Flora, melibatkan pencucian longkang, pemotongan rumput dan semak samun, pemangkasan dahan pokok yang menghalang laluan, penyingkiran dahan reput, serta pencucian jalan bagi memastikan persekitaran lebih bersih dan selamat untuk penduduk,” katanya lagi.

Mengenai pengurusan sisa pepejal, DBKL berkata, mereka sudah mengarahkan supaya tong sampah sedia ada digantikan dengan tong yang lebih kukuh dan tahan gangguan haiwan.

Selain itu, setiap rumah akan menerima tong individu bagi membolehkan kutipan dilakukan secara terus dari rumah ke rumah, sekaligus mengurangkan risiko sisa terdedah yang menjadi punca kehadiran haiwan liar.

“Mengenai isu monyet liar, DBKL bekerjasama rapat dengan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) bagi menangani isu monyet liar yang berulang di kawasan ini.

Perhilitan sebelum ini telah beberapa kali memasang perangkap di lokasi tumpuan seperti kawasan tong sampah, kediaman ketua-ketua kerajaan termasuk Istana Negara. Pemasangan perangkap baharu akan dilaksanakan segera dan pemantauan dipertingkatkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button