BERITA SEMASA

Daripada prof madya ke pemandu e-hailing, Nik Rahim tegaskan maruah tidak diukur pada gelaran

KUALA LUMPUR – Kisah seorang pesara bergelar profesor madya yang kini bekerja sebagai pemandu e-hailing mencetuskan perbincangan hangat di media sosial sejak beberapa hari lalu, dengan pelbagai reaksi diterima daripada masyarakat termasuk sokongan, simpati serta kritikan sinis.

Individu berkenaan, Dr Nik Rahim Nik Wajis yang memiliki kelulusan doktor falsafah (PhD), tampil mempertahankan keputusannya untuk terus bekerja selepas bersara dan menegaskan maruah seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.

Menurut beliau, realiti kehidupan selepas pencen sering disalahfahami, khususnya oleh mereka yang menganggap pencen dan gelaran akademik menjamin kehidupan selesa.

“Pencen bukan jaminan hidup senang. Gelaran akademik tidak membayar bil elektrik, dan ijazah tidak menurunkan harga barang dapur,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya.

Nik Rahim menjelaskan beliau masih mempunyai tanggungan keluarga serta keperluan hidup yang perlu dipenuhi, justeru memilih untuk bekerja secara halal dan bermaruah sebagai pemandu e-hailing.

“Saya memilih untuk bekerja, bukan merayu dan bukan mengemis. Saya tidak kehilangan ilmu kerana memegang stereng dan saya tidak hilang maruah kerana pekerjaan saya berubah,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik sikap segelintir masyarakat yang masih menganggap pekerjaan tertentu sebagai “rendah”, sedangkan dalam ajaran Islam, setiap pekerjaan halal adalah mulia dan dinilai berdasarkan niat serta amanah.

“Yang membezakan manusia bukan jawatan di kad nama, tetapi takwa dan tanggungjawab,” tegasnya.

Nik Rahim turut menegaskan tulisannya bukan bertujuan mempertahankan diri, sebaliknya untuk membetulkan naratif masyarakat yang mengaitkan kejayaan semata-mata dengan jawatan dan status sosial.

Beliau berharap kisah tersebut dapat membuka mata masyarakat mengenai kepentingan perancangan hidup selepas pencen, serta menghapuskan stigma terhadap pekerjaan yang dilakukan secara jujur dan halal.

“Maruah bukan pada gelaran. Maruah pada keberanian memikul tanggungjawab,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button