BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Langkah BNM turunkan OPR bantu usahawan PMKS – Ewon Benedick

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang diyakini mampu memberi impak positif kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pengumuman BNM semalam mengenai penurunan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus adalah satu keputusan yang amat dialu-alukan, khususnya dalam usaha memperkukuh sektor keusahawanan.

“Saya amat yakin ini akan memberi kesan positif kepada usahawan PMKS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Co-Opbank Pertama (CBP) di ibu negara hari ini.

Baca juga : Bank Negara umum OPR turun 25 mata asas kepada 2.75 peratus

Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM membuat keputusan menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Seiring dengan itu, kadar siling dan kadar lantai bagi koridor OPR turut diturunkan masing-masing kepada tiga peratus dan 2.5 peratus.

Langkah ini merupakan kali pertama bank pusat menurunkan kadar tersebut selepas mengekalkannya sebanyak 12 kali sejak Mei 2023.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan tarif import sebanyak 25 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia yang dijangka bermula 1 Ogos ini, Ewon berkata beliau berharap rundingan antara kerajaan Malaysia dan AS akan membawa hasil positif.

“Mudah-mudahan perbincangan terkait dengan tarif yang masih dirundingkan dengan kerajaan AS serta inisiatif lain yang kita teruskan dalam negara ini akan dapat memberi sokongan berterusan kepada usahawan PMKS di negara ini untuk terus menyumbang kepada ekonomi negara kita,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button