6 ‘anak’ YKM catat keputusan cemerlang SPM 2024
KLANG – Seramai enam pelajar Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, dengan masing-masing memperoleh sekurang-kurangnya 6A, berbanding pencapaian keseluruhan pada tahun sebelumnya.
YKM dalam kenyataan berkata, seramai 36 orang anak-anak di bawah jagaan yayasan tersebut menduduki SPM pada kali ini dengan enam daripadanya memperoleh keputusan membanggakan, termasuk seorang pelajar yang meraih keputusan 10A.
Antara pelajar cemerlang tersebut ialah Isma Daniel Khairul Syakirin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah yang memperoleh 10A; Alia Batrisya Abu Hassan dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau (9A); Irene Hung Xin Yi dari SMK Bandar Sibu (9A); Mohamad Affiq Danish Mohd Nasir dari MRSM Kuantan (7A); Wan Nur Aisyah Insyirah Wan Mohd Norhisham dari SMJK Tanah Puteh (7A); serta Nur Najma Najihah Sarkawi dari SMKA Tun Ahmad Zaidi (6A).
Sempena pencapaian itu, YKM meneruskan tradisi menyantuni pelajar-pelajar cemerlang melalui Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2024.
Salah satu destinasi ziarah kasih kali ini ialah rumah Noor Syahida Mohd Suyud di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang, ibu kepada Isma Daniel.
Isma Daniel merupakan anak sulung daripada enam beradik dan penerima Bantuan Kasih YKM sejak kehilangan bapanya, Allahyarham Khairul Syakirin Abdul Wahab, yang meninggal dunia pada 10 Mac 2022 akibat pandemik Covid-19.
Ibunya kini menyara keenam-enam anak mereka dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 dan bergantung kepada bantuan bulanan YKM bagi memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak.
Pengerusi YKM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir menyampaikan hadiah kecemerlangan kepada Isma Daniel berkata, pencapaian pelajar tersebut bersama lima lagi anak-anak YKM merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Kejayaan mereka ini merupakan bukti bahawa bantuan yang disalurkan oleh YKM adalah selaras dengan visi dan misi kami untuk memastikan pendidikan anak-anak ini terus terbela,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Sering saya tegaskan bahawa pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib diri sendiri dan keluarga. Harapan saya agar kejayaan yang telah diperolehi ini bakal menjadi batu loncatan kepada semua anak YKM untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak,” katanya lagi.
Dalam lawatan tersebut, YKM turut menyampaikan pelbagai bentuk sumbangan kepada keluarga Isma Daniel, termasuk barang keperluan asas dan peralatan elektrik seperti periuk nasi serta periuk elektrik serba guna.
Terdahulu, Pengerusi YKM turut mengadakan lawatan ke rumah Rohana Nawari, ibu kepada Alia Batrisya Abu Hassan, yang juga menerima Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 selepas mencatat keputusan 9A sebagai pelajar MRSM Balik Pulau.
Empat lagi pelajar cemerlang akan menerima hadiah kecemerlangan masing-masing, yang akan disalurkan terus ke akaun bank penerima.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






