506 TASKA tidak berdaftar di seluruh negara – Nancy Shukri
KUALA LUMPUR – Sebanyak 506 taman asuhan kanak-kanak (TASKA) dikesan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mei lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya menggunakan pelbagai pendekatan, termasuk memberikan notis peringatan dan tindakan penguatkuasaan, selaras dengan peruntukan Akta 308.
“Berdasarkan keputusan kertas siasatan dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan TASKA sudah dikenakan tindakan lak, 17 dikompaun dan dua kes didakwa di mahkamah antara 2020 hingga Mac 2024,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang memohon penjelasan berhubung statistik bilangan TASKA dikesan tidak berdaftar dengan JKM, selain sejauh mana tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pengusaha premis berkenaan.
Ketika mengulas lanjut, Nancy berkata, terdapat sesetengah TASKA yang tidak berdaftar tetapi masih menepati syarat minimum pengoperasian seperti ditetapkan JKM, namun tidak berbuat demikian kerana pelbagai faktor.
Katanya, antara faktor dinyatakan termasuk kesukaran menepati syarat prosedur ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza antara satu kawasan pentadbiran dengan yang lain.
“Bagi TASKA yang berdepan dengan situasi sebegini, JKM guna pendekatan dengan membantu mereka menerusi penyediaan khidmat nasihat, selain melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses mereka memenuhi syarat ditetapkan agensi berkaitan.
“Agensi ini termasuk jabatan bomba dan penyelamat, jabatan kesihatan serta PBT menerusi ‘one stop centre’ di peringkat negeri dan daerah, dengan antara September 2023 hingga 31 Mei 2024, 189 TASKA berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















