
Belanjawan 2025: RM600 juta untuk NADMA hadapi musim banjir
Belanjawan 2025: RM600 juta untuk NADMA hadapi musim banjir
KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan hampir RM600 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku.
Daripada jumlah tersebut, lebih RM300 juta telah disediakan sebagai langkah awal sekiranya banjir melanda pada bila-bila masa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini berkata, peruntukan itu bertujuan untuk terus menambah baik pengurusan bencana negara serta mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir dengan kerjasama semua kontraktor.
Dalam usaha memperkukuhkan bantuan kepada mangsa banjir, kerajaan turut menyediakan geran padanan sebanyak RM20 juta kepada Yayasan GLIC dan GLC bagi memperhebatkan respons dan penyaluran bantuan di kawasan terjejas.
“Kerajaan tempatan (PBT) dan warga bandar perlu bekerjasama untuk memastikan masalah longkang tersumbat dan parit yang mengakibatkan banjir kilat dapat diatasi segera,” katanya lagi.
Di samping itu, sebanyak RM150 juta diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk kerja-kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai di bandar-bandar yang terjejas oleh banjir kilat, termasuk di ibu kota.
Anwar berkata, langkah segera itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk menghadapi musibah banjir dan mempercepatkan projek-projek tebatan banjir di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















