BERITA SEMASA

Bekas pesakit kenang jasa MA maut nahas helikopter

MIRI – Seorang bekas pesakit Klinik Kesihatan Bekenu terkejut apabila menyedari Pembantu Pegawai Perubatan (MA), Alexson Adit Henry yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Ulu Baram, Selasa lalu ialah petugas kesihatan yang pernah merawatnya.

Dayang Sufyina Awang Jaya berkata, dia mula mengenali wajah Adit selepas melihat gambar mangsa yang tular di media sosial.

“Apabila tengok gambar yang tular di media sosial, saya rasa macam kenal. Jadi saya terus selongkar kad klinik lama. Ternyata memang ada nama dan cop beliau di situ. Saya terus tergamam dan rasa sangat sedih.

“Dia pernah berjasa dan berkhidmat untuk kita masyarakat Bekenu. Pasti kita juga sedih dengan kehilangan ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurutnya, mendiang yang lebih dikenali sebagai Adit merupakan seorang petugas yang ceria, gemar bergurau dan lemah lembut ketika melayan pesakit sepanjang bertugas di Klinik Kesihatan Bekenu.

Katanya, sikap mesra dan mudah didekati Adit menyebabkan ramai pesakit selesa mendapatkan rawatan daripadanya.

Adit sebelum ini berkhidmat di Klinik Kesihatan Bekenu sebelum berpindah ke stesen lain dan kemudiannya menyertai Perkhidmatan Doktor Udara yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Dalam nahas pada Selasa lalu, Adit bersama juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham serta tiga petugas kesihatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Debra Moset dan Jessie Paya Jok, disahkan maut.

Nahas berlaku selepas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara itu terhempas di Long Lellang, Ulu Baram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button