Bekas pemandu NASCAR maut bersama keluarga dalam nahas pesawat
STATESVILLE – Bekas pemandu NASCAR, Greg Biffle, meninggal dunia bersama isteri serta dua anaknya dalam satu nahas pesawat di Lapangan Terbang Wilayah Statesville, North Carolina, semalam.
Jurucakap Polis Lebuhraya North Carolina memaklumkan, saksi mengesahkan Biffle berada dalam pesawat jenis Cessna C550 yang terhempas ketika mendarat pada pukul 10.20 waktu tempatan.
Dalam kenyataan rasmi, NASCAR mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Biffle dan mengenang mendiang sebagai juara sebenar di litar dan komuniti atas pengorbanannya yang kerap membantu pihak dalam kesusahan.
“Greg bukan sahaja seorang juara, malah beliau figura yang disayangi dalam komuniti NASCAR,” katanya.

NASCAR turut mengesahkan tiga individu lain yang belum dinamakan meninggal dunia dalam nahas itu.
Organisasi itu menambah, dedikasi Biffle terhadap sukan permotoran, integritinya serta komitmennya terhadap peminat dan rakan pesaing meninggalkan kesan mendalam dalam dunia perlumbaan.
Selain pencapaian di litar perlumbaan, Biffle dikenang atas jasa kemanusiaannya membantu penduduk barat North Carolina selepas Taufan Helene tahun lalu.
Ketika itu, beliau menggunakan helikopter peribadi untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap serta menghantar bekalan kepada mereka yang memerlukan.
Gabenor North Carolina, Josh Stein, meluahkan rasa sedih di laman X:
“Berita yang menyayat hati dari Statesville. Selain kejayaannya sebagai pemandu NASCAR, Greg Biffle hidup dengan keberanian dan belas kasihan serta tampil membantu penduduk barat North Carolina selepas Taufan Helene.
Seorang penggiat sukan permotoran di YouTube, Garrett Mitchell, memaklumkan di Facebook bahawa Biffle dan keluarganya dalam perjalanan untuk menghabiskan waktu petang bersama beliau sebelum nahas berlaku.
Pengarah Lapangan Terbang Statesville, John Ferguson, berkata pesawat korporat itu sudah terbakar ketika beliau tiba di lokasi. Pesawat berkenaan dimiliki sebuah syarikat persendirian yang dikaitkan dengan Biffle.
“Pesawat berlepas sekitar pukul 10.06 waktu tempatan dan hanya berada di udara seketika sebelum terhempas di hujung timur landasan. Punca nahas masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








