Bekas diplomat, anak bebas tiga tuduhan berkaitan ganja
TEMERLOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas diplomat bersama anak lelakinya daripada tiga pertuduhan berkaitan pengedaran ganja seberat 989.6 gram, pemilikan minyak ganja serta penanaman 102 pokok ganja pada 2022.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim, Roslan Mat Noor selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zainal Abidin Alias, 82, dan anaknya Mohamed Rizal, 56, di akhir kes pendakwaan.
Peguam Muhammad Farhan Shafee yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, mahkamah mendapati wujud jurang ketara dalam siasatan selain kegagalan pihak pendakwaan mengaitkan tertuduh dengan bahan terlarang yang ditemui di hartanah berkenaan.
Menurutnya, mahkamah turut menerima hujahan pembelaan bahawa 102 pokok ganja yang ditemui di sebuah rumah di Janda Baik tidak dapat dilihat secara fizikal dari lokasi tertuduh pertama ketika tangkapan dilakukan.
“Bentuk muka bumi yang beralun, cerun curam serta dedaunan tropika yang lebat mewujudkan ‘zon bayang’ yang menjadikannya mustahil bagi Zainal Abidin, yang ketika itu berusia 78 tahun, untuk melihat atau mengetahui kewujudan kawasan penanaman tersebut dari garaj atau rumah utama,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata, mahkamah juga memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua tertuduh mempunyai kawalan eksklusif terhadap premis berkenaan.
Menurutnya, keterangan semasa perbicaraan menunjukkan rumah itu tidak berkunci dan boleh diakses oleh beberapa pihak ketiga.
Tambah beliau, hakim turut menegur beberapa ‘peluang yang terlepas’ oleh pasukan penyiasat yang menyebabkan penemuan mereka tidak selamat untuk diterima sebagai bukti kukuh.
Muhammad Farhan berkata, analisis forensik digital terhadap peranti milik Mohamed Rizal yang ditahan di Shah Alam juga tidak menemukan sebarang komunikasi, mesej, panggilan atau e-mel yang mengaitkan kedua-dua tertuduh dengan kegiatan jenayah tersebut.
“Mahkamah turut memutuskan bahawa Seksyen 34 Kanun Keseksaan berkaitan niat bersama tidak boleh digunakan bagi merapatkan jurang pembuktian yang besar dalam kes ini,” katanya.
Menurutnya lagi, mahkamah turut mengambil kira sikap Zainal Abidin ketika serbuan dilakukan yang dilihat memberi kerjasama dan kelihatan terkejut tanpa menunjukkan sebarang cubaan untuk melarikan diri.
“Hakim merumuskan bahawa kes pendakwaan hanya bersandarkan kepada syak wasangka semata-mata dan bukannya keterangan yang boleh dipercayai.
“Oleh itu, mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya.
Selain Muhammad Farhan, kedua-dua tertuduh turut diwakili Shafee Abdullah, Wee Yeong Kang dan M Naresh.
Pendakwaan pula dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Shahrizat Ismail bersama Intan Nur Hilwani Rifin dan Nur Syafiqah Noorinda.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar ganja seberat 989.6 gram di sebuah rumah di Kampung Sum-Sum Hilir, Janda Baik pada pukul 6.10 petang, 21 Mei 2022.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Selain itu, kedua-duanya turut didakwa menyimpan minyak ganja sebanyak 60 mililiter serta menanam 102 pokok ganja di lokasi dan tarikh yang sama, masing-masing mengikut Seksyen 9(1)(b) dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








