Bau busuk, hurungan lalat bawa kepada penemuan jasad reput
MELAKA – Bau busuk dan kawanan lalat yang menghurungi sebuah kereta membawa kepada penemuan jasad yang mula mereput di tempat duduk hadapan kenderaan berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, polis menerima maklumat kejadian pada pukul 1.48 tengah hari tadi.
Susulan itu, pasukan daripada Balai Polis Ayer Keroh bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Pasukan Forensik D10 IPK Melaka serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati, jasad seorang lelaki berusia 34 tahun ditemukan meninggal dunia di tempat duduk pemandu dalam keadaan mayat telah mereput.
“Turut ditemukan, sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, jasad itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Ayer Keroh di talian 06-232 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







