Bakul Kasih MADANI ringankan beban keluarga asnaf Bukit Bendera
GEORGETOWN – Seramai 30 keluarga miskin dan asnaf di Parlimen Bukit Bendera menerima bantuan Bakul Kasih MADANI yang disampaikan oleh Ahli Parlimennya, Syerleena Abdul Rashid.

Bantuan itu berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan beberapa keperluan dapur lain.
Syerleena berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Parlimen Bukit Bendera bagi mengenal pasti dan membela nasib golongan yang memerlukan.
“Sebanyak 200 kotak bantuan Bakul Kasih MADANI disediakan di kawasan Parlimen Bukit Bendera.
“Program ini dilaksanakan setiap bulan bukan sahaja untuk membantu keluarga serta individu yang memerlukan, malah ia juga menjadi manifestasi penghargaan terhadap komuniti yang harmoni dan penuh nilai kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bantuan diberikan tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang kerana matlamat utamanya ialah memastikan setiap golongan yang memerlukan mendapat perhatian sewajarnya.
“Kita mahu kesusahan setiap orang disantuni sebaiknya melalui agihan Bakul Kasih MADANI ini selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan komuniti setempat.
“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban harian serta memberi mereka semangat bahawa nasib mereka sentiasa diambil peduli,” katanya lagi.
Syerleena turut berkata, menjadi tanggungjawab pemimpin untuk terus mendampingi rakyat dan membela nasib semua lapisan masyarakat agar mereka terus bersemangat menjalani kehidupan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








