BERITA SEMASA

Asyraf Wajdi gesa polis ambil tindakan kejadian buli di IPT

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak polis mengesan sekumpulan pelajar yang terlibat dalam satu kes buli di sebuah institusi pengajian.

Melalui satu perkongsian video di Facebook hari ini, beliau berkata, bergurau secara melampau juga adalah satu bentuk buli.

“Perbuatan seperti ini tidak boleh sesekali dikompromikan atau didiamkan atas alasan gurauan. Apakah kita hendak menunggu sehingga kecederaan kekal mahupun kematian baru hendak bertindak?

“Harap pihak polis dapat segera bertindak dengan tegas. Semua pelaku juga wajib didakwa agar menjadi pengajaran penting buat semua,” tulisnya.

Video itu memaparkan lima orang pelajar memegang kaki dan tangan seorang pelajar sebelum menghayunkan bahagian kelangkangnya ke arah tiang sebuah papan tanda.

Sementara itu, lima pelajar lain yang berdekatan turut menjadi ‘penonton’ dan semua mereka hanya ketawa selepas perbuatan itu dilakukan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa geram dengan perbuatan tersebut.

“Pihak sekolah boleh buat laporan polis dan ambil tindakan kepada pelajar yang ada dalam video ini. Apa punya tiada akal.

“Sesuatu yang menyakitkan orang bukan gurauan. Ia buli atau tindakan menyeksa yang boleh didakwa,” komen Osman Ahmad.

“Apalah dalam fikiran budak-budak ini. Tak tahu ke bahaya buat macam tu. Nak bergurau pun agak-agak lah. Boleh mendatangkan kecederaan serius tu. Elok juga diviralkan, biar pelaku dapat hukuman setimpal,” kata Yuzairy Hafiz Yusuf.

Setakat ini, hantaran tersebut menerima 2,200 reaksi, 1,100 komen dan 435 perkongsian semula.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button