BERITA SEMASADALAM NEGERI

Asyraf Khalid teraju program keusahawanan Oxford

PUTRAJAYA — Tokoh usahawan muda negara, Asyraf Khalid dilantik untuk menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang pengarah program eksklusif Oxford Leadership and Innovation Bootcamp (Oxford LIB), kursus pendek yang dilaksanakan di University of Oxford, United Kingdom.

Asyraf berkata, program itu fokus kepada kepimpinan dan keusahawanan, termasuk strategi skala dan keluar perniagaan secara berkesan.

“Program ini adalah platform bagi para usahawan bukan sahaja untuk menimba ilmu daripada para profesor Oxford, tetapi juga memperluaskan rangkaian profesional mereka bersama peserta lain yang turut sama dalam industri.

“Program itu dianjurkan secara bersama oleh University of Oxford dan Oxford Asia dan kursus tersebut berlangsung selama seminggu di kampus berprestij itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, setiap sesi atau kohot hanya membuka ruang kepada 30 peserta terpilih dari Malaysia, terdiri daripada pengasas syarikat yang sedang berkembang pesat dalam pelbagai sektor.

“Kami menerima lebih 1,000 permohonan untuk setiap pengambilan dan proses saringan dilakukan bagi memastikan calon sesuai dipilih berdasarkan potensi syarikat mereka serta komitmen terhadap pembangunan kepimpinan,” tambahnya.

Antara jenama tempatan yang menyertai kohort terkini termasuk pengasas KopiKu, The Raw, Cura, Tudung People dan beberapa lagi jenama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sedang meningkat naik.

“Program ini bukan sekadar medan akademik, tetapi menyediakan ruang kepada peserta untuk membentuk jaringan kolaborasi antarabangsa, di samping berkongsi pengalaman secara langsung sesama usahawan.

“Selain menerima bimbingan daripada pakar akademik, kami juga belajar daripada satu sama lain ini menjadikan program ini lebih menyeluruh dan praktikal,” ujarnya.

Dalam perancangan seterusnya, beliau menyasarkan untuk menganjurkan empat pengambilan peserta setahun, termasuk sesi pada bulan Oktober dan Disember akan datang.

Pelantikan Asyraf sebagai pengarah Oxford LIB mengukuhkan peranannya dalam memperkasa usahawan tempatan ke peringkat global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button