ASEMIS 2025 perkukuh kerjasama serantau, dorong eksport Semikonduktor ASEAN
KUALA LUMPUR – ASEAN Semiconductor Summit (ASEMIS) 2025 yang berlangsung pada 24 Julai lalu berjaya membuka lembaran baharu dalam industri semikonduktor serantau melalui termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara lima negara ASEAN utama.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, MoU tersebut melibatkan persatuan semikonduktor dari Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia menandakan komitmen kukuh untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang strategik berkenaan.
“Penandatanganan ini memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat, pembangunan piawaian bersama dan pelaksanaan inisiatif untuk menangani cabaran rantaian bekalan global,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, penganjuran ASEMIS 2025 yang merupakan hasil kolaborasi antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) sejajar dengan salah satu Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini iaitu mewujudkan Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu (AFISS).
AFISS memberi tumpuan kepada integrasi rantaian bekalan, pembangunan teknologi serta infrastruktur selain menekankan pembangunan bakat tempatan.
“Kuncinya adalah melihat Negara-Negara Anggota ASEAN sebagai rakan kerjasama, bukan pesaing,” jelas beliau.
Sebagai kesinambungan, Filipina yang bakal mempengerusikan ASEAN pada tahun 2026 turut bersetuju meneruskan penganjuran ASEMIS tahun hadapan.
Usaha itu dijangka memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai hab penting dalam industri semikonduktor global serta meningkatkan daya saing teknologi tempatan di pasaran antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








