JENAYAH & MAHKAMAH

Anak Tun Daim didakwa di mahkamah esok

PUTRAJAYA- Seorang anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok.

Perkara itu disahkan peguam Yu Ying Ying yang memaklumkan bahawa anak guamnya, Asnida Daim akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, lapor Kosmo Online.

“Ya, beliau akan didakwa mengikut Seksyen 36(2) (Akta SPRM 2009) di Mahkamah Jalan Duta esok,” katanya.

Difahamkan, Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 adalah berkaitan dengan kesalahan gagal mematuhi notis bertulis daripada SPRM untuk mengisytiharkan harta.

Individu yang gagal mematuhi notis itu boleh dihukum penjara sehingga 5 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Ying Ying mengesahkan anak guamnya diambil keterangan bermula pukul 10 pagi tadi dan selesai kira-kira lima jam kemudian di Ibu Pejabat SPRM.

Laporan media sebelum ini menyebut, Notis Kesan Individu dikeluarkan ke atas empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan SPRM berkaitan perisytiharan aset.

Selain Asnida, tiga lagi anak Allahyarham Daim ialah Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button