Bapa dua anak dituduh bunuh isteri, peniaga telefon bimbit
GURUN – Seorang bapa kepada dua anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dan seorang peniaga telefon bimbit pada 11 Sept lalu.
Tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin,30, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Anis Suraya Ahmad.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan pekerja swasta.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30, di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan dekat sini antara pukul 9 malam hingga 10 malam, 11 September lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Al Iqbal dituduh membunuh Nurul Nur Syamira Khamis, 28, di kawasan perumahan, tarikh dan masa yang sama.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya sementara tertuduh diwakili barisan peguam, Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.
Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia serta dokumen berkaitan lain.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






