Anak Muammar Gaddafi terbunuh di Zintan
TRIPOLI – Anak kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Saif al-Islam, dilaporkan terbunuh semalam dalam pertempuran berhampiran bandar Zintan, wilayah barat negara itu.
Menurut laporan Al Jazeera, kematian Saif yang berusia 54 tahun itu dimaklumkan oleh sepupunya.
Allahyarham digambarkan sebagai ‘gugur syahid di jalan yang sama seperti ayah, datuk dan saudara-saudaranya’, merujuk kepada nasib tragis keluarganya ketika kebangkitan rakyat Libya pada 2011.
Media Libya melaporkan Saif terbunuh di kediamannya di Zintan selepas kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan dirosakkan.
Serangan itu dipercayai dilakukan oleh empat individu tidak dikenali.
Penasihat Saif, Abdullah Osman, mengesahkan Peguam Negara Libya telah melancarkan siasatan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Media tempatan termasuk Agensi Berita Libya dan Abaad News turut melaporkan berlakunya pertembungan dengan Briged ke-444 di selatan Zintan.
Bagaimanapun, beberapa media pro-rejim mendakwa Saif terselamat daripada cubaan pembunuhan sebelum Abdullah mengesahkan kematiannya.
Insiden itu berlaku ketika Libya terus berdepan perpecahan politik dan keselamatan susulan revolusi 2011 yang disokong NATO dan menggulingkan pemerintahan Muammar Gaddafi.
Zintan yang dikenali sebagai kubu kuat pasukan anti-Islamis sering menjadi titik panas pertembungan antara kumpulan bersenjata yang bersekutu dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (GNU) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Tripoli dan puak-puak di timur di bawah pimpinan Khalifa Haftar.
Hasrat Saif untuk kembali ke arena politik, termasuk pencalonannya dalam pilihan raya presiden 2021 meskipun berdepan waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah perang, dilihat meningkatkan lagi ketegangan di negara yang terpecah itu.
Dilahirkan pada 1972, Saif mendapat pendidikan di London dan Vienna serta pernah dianggap sebagai pewaris politik bapanya.
Pada 2011, beliau ditangkap oleh pejuang Zintan dan dijatuhi hukuman mati secara in absentia sebelum dibebaskan di bawah pengampunan pada 2017.
Walaupun kembali tampil menyeru kepada perdamaian nasional, Saif kekal sebagai figura kontroversi di peringkat antarabangsa susulan dakwaan kekejaman semasa kebangkitan 2011.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















