AmLife cipta rekod MBOR, himpun 817 peserta DeepZleep Challenge
KUALA LUMPUR – AmLife International mencipta sejarah apabila mencatat rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan seramai 817 peserta yang melengkapkan DeepZleep Challenge, sekali gus mengangkat kepentingan pemulihan melalui tidur sebagai sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat.
Pencapaian itu diiktiraf di bawah kategori rasmi “Most Participants in a Sleep Wellness Recovery Technology Experience Session” selepas kesemua peserta melengkapkan sesi pengalaman DeepZleep selama 20 minit di Centre Court, Aras Bawah, 1 Utama.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AmLife International, Lew Mun Yee berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat dalam menerajui kesedaran mengenai kesejahteraan tidur.
“DeepZleep Challenge bukan semata-mata tentang jumlah peserta atau mencipta rekod. Ia mencerminkan komitmen AmLife untuk mengubah cara masyarakat memahami tidur, daripada sekadar waktu untuk berehat kepada satu proses pemulihan yang penting untuk kehidupan yang lebih sihat dan seimbang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan AmLife International, Edward Yong berkata, gaya hidup moden yang semakin sibuk menyebabkan ramai individu berdepan kesukaran mendapatkan tidur yang selesa dan rehat yang berkualiti.
“Dalam kehidupan moden yang serba pantas, ramai individu sukar mendapatkan tidur yang selesa dan rehat yang berkualiti. Keadaan ini boleh menjejaskan tahap tenaga, tumpuan, produktiviti dan kesejahteraan mereka dalam menjalani kehidupan seharian.
“AmLife percaya bahawa tidur berkualiti merupakan salah satu asas penting kepada kesejahteraan fizikal dan mental. Sehubungan itu, DeepZleep dibangunkan sebagai sebahagian daripada ekosistem kesejahteraan tidur AmLife,” katanya.

Beliau berkata, DeepZleep menggabungkan teknologi potensi elektrik, keselesaan terma dan frekuensi bunyi dalam satu pengalaman kesejahteraan tidur bersepadu yang direka untuk mewujudkan persekitaran yang lebih menyokong untuk berehat.
Dalam pada itu, Ketua Pemasaran AmLife International, Arthur Ang berkata, idea menganjurkan DeepZleep Challenge tercetus daripada hasrat untuk menjadikan konsep pemulihan melalui tidur lebih mudah difahami dan dialami sendiri oleh masyarakat.
“Idea kami adalah untuk menghimpunkan lebih 500 orang dalam satu hari dan memberi mereka peluang merasai sendiri gambaran awal tentang pemulihan melalui tidur. Daripada sekadar menyampaikan mesej bahawa tidur itu penting, kami mahu mengubahnya menjadi satu pengalaman sebenar yang boleh dirasai dan difahami sendiri oleh masyarakat,” katanya.
Setiap peserta dikira berjaya melengkapkan DeepZleep Challenge selepas menjalani sesi pengalaman DeepZleep selama 20 minit.
Saringan kesejahteraan turut dijalankan sebagai penilaian awal bagi memberikan gambaran umum mengenai keadaan tubuh serta kualiti tidur peserta.
AmLife menjelaskan pengalaman selama 20 minit itu tidak bertujuan menggantikan keperluan mendapatkan tidur malam yang mencukupi, sebaliknya memberi gambaran awal mengenai kepentingan menyediakan masa dan persekitaran yang lebih terarah untuk berehat.
Jumlah 817 peserta yang melengkapkan cabaran itu turut melepasi sasaran awal iaitu lebih 500 peserta.
Acara tersebut turut disertai Dr Say Shazril, Eyra Hazali dan Fahrin Ahmad yang membantu menyampaikan mesej mengenai kepentingan rehat dan pemulihan kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Menurut AmLife International, pencapaian itu selaras dengan komitmen syarikat untuk terus memperluaskan kesedaran mengenai kesejahteraan tidur menerusi pendidikan pengguna, pengalaman awam dan teknologi yang menyokong persekitaran rehat yang lebih baik.
Melalui DeepZleep Challenge, syarikat itu berharap lebih ramai rakyat Malaysia melihat tidur sebagai sebahagian penting daripada usaha menjaga kesejahteraan dan menjalani kehidupan yang lebih seimbang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



