BERITA SEMASA

Aminuddin sahkan sidang DUN Negeri Sembilan ditangguh

SEREMBAN – Tarikh baharu bagi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 bakal dimaklumkan kemudian susulan keputusan penangguhan sesi yang sepatutnya bersambung pada 27 sehingga 29 April ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sejurus selesai majlis perasmian pembukaan Persidangan.

“Persidangan DUN Negeri Sembilan ditangguhkan hingga suatu tarikh yang sesuai mengikut keadaan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman, berkata persidangan ditangguhkan hingga suatu tarikh yang akan diberitahu kelak, namun tidak memperincikan alasan penangguhan.

“Persidangan hari ini adalah memenuhi syarat, sebab itu boleh ditangguh. Jadi, saya pertimbangkan atas kapasiti selaku Speaker Dewan.

“Perasmian hari ini adalah titah Tuanku sahaja. Ia persidangan pertama penggal keempat dan ditangguhkan hingga tarikh yang akan diberitahu kelak. Kerajaan akan dapatkan suatu tarikh yang sesuai dan Tuanku perkenankan dan kita akan edarkan notis balik,” katanya.

Istiadat perasmian hari ini bagaimanapun tidak dihadiri Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin seperti kelazimannya.

Ia susulan krisis apabila undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong pula didakwa sudah dipecat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button