BERITA SEMASA

Akibat kesedihan melampau, ibu kanak-kanak mangsa bunuh cuba ambil nyawa sendiri

JOHOR BAHRU – Ibu kepada kanak-kanak berusia enam tahun yang dipercayai mati akibat dibunuh bapanya, dipercayai cuba membunuh diri akibat kesedihan melampau dan trauma berhubung kejadian itu.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Johor, Khairin Nisa Ismail, ketika dihubungi hari ini, lapor portal The Star.

“Ya, semalam kami telah menghantar pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri untuk menawarkan bantuan kepada keluarga mangsa, namun mereka menolak bantuan tersebut.

“Kami juga dimaklumkan bahawa ibu kepada mendiang telah cuba mengambil nyawanya sendiri dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

BACA JUGA:
Mayat kanak-kanak ditanam di Rompin: Bapa direman disyaki buat laporan palsu

Related Articles

Khairin Nisa turut berkata bahawa pihaknya sedang menunggu laporan perubatan hospital sebelum memberikan sokongan psikologi dan bentuk bantuan lain kepada keluarga yang sedang berduka itu.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mendiang A. Tishant di Jalan Rimbun, Bandar Seri Alam, Masai sempena pengebumian kanak-kanak berusia enam tahun yang menjadi mangsa bunuh itu.

Kira-kira 100 kenalan rapat dan saudara-mara hadir ke upacara bermula jam 9 pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membawa jasad mendiang dari kediaman berkenaan ke krematorium di Jalan Kebun Teh di sini bertolak pada jam 10. 42 pagi, dengan diiringi kira-kira 10 kenderaan lain membawa ahli keluarga turut.

Difahamkan upacara pembakaran mayat akan bermula tengah hari ini.

Mendiang sebelum ini dilaporkan hilang 24 Julai lalu di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri.

Susulan laporan berkenaan, bapanya kemudiannya ditahan polis bagi membantu siasatan.

Empat hari kemudian, jasad kanak-kanak itu ditemukan tertanam di Rompin, Jempol.

Semalam, polis mengesahkan punca kematian Tishant adalah akibat dicekik menggunakan kabel pengikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button