BERITA SEMASAGAYA HIDUP

Akademi Bonda Nor tampil dengan karya terbaharu, Sembuh kupas isu penyakit hati, suntik inspirasi

MELAKA – Akademi Bonda Nor (ABN) terus mengukuhkan peranannya dalam dunia penulisan dakwah santai apabila tampil dengan karya terbaharu bertajuk Sembuh, sebuah buku yang menyelami penyakit-penyakit hati yang sering tidak disedari namun memberi kesan besar kepada jiwa manusia.

Pengasas ABN, Bonda Nor atau Norli Madlan berkata, buku tersebut bakal diterbitkan syarikatnya, Bonda Nor Sdn Bhd sempena Ramadan tahun ini.

ABN
Bonda Nor ketika berucap pada program Perkampungan Penulis dan R&R Akademi Bonda Nor.

“Dengan tagline ‘Kadangkala, yang menyakitkan itu bukan luka yang besar. Tapi debu di hati yang tak disedari’, buku ini menghimpunkan penulisan yang mengupas pelbagai penyakit hati yang halus.

“Sembuh bukan ditulis untuk menghakimi, sebaliknya hadir sebagai teman kepada pembaca yang sedang mencari jawapan kepada kegelisahan jiwa.

“Teruntuk kamu yang rasa sesak di dada tapi tak tahu kenapa, yang senyum di wajah tapi bergelora di jiwa, yang rindukan tenang tapi tak tahu jalan pulang, Sembuh adalah jawapannya,” kata Bonda Nor kepada Malaysia Tribune.

https://malaysiatribune.news/berita-semasa/bonda-nor-sdn-bhd-lancar-10-judul-buku-baharu-sempena-pbakl-2025/

Tambah beliau, buku tersebut bakal membawa pembaca menyelami entiti paling utama dalam diri manusia iaitu hati, bukan sekadar mengenal masalah, malah membersihkan keladak jiwa dan menyuluhkan cahaya ke dalam kehidupan.

ABN Sembuh
Karya terbaharu pasukan penulis ABN bakal diterbitkan Ramadan ini.

Bonda Nor berkata sedemikian pada program Majlis Reunion & Retreat (R&R) ABN 2026 yang berlangsung selama dua hari satu malam di sebuah homestay di Duyung, Melaka yang berakhir semalam.

Bersatu di bawah fikrah yang sama, pasukan penulis ABN dari seluruh negara telah berhimpun dalam suasana penuh harmoni dalam mengeratkan silaturahim antara mereka.

BACA: https://malaysiatribune.news/rencana/bonda-nor-inspirasi-kejayaan-penulis-pendakwah-berjiwa-besar/

Jelas Bonda Nor, program tersebut bukan sekadar pertemuan biasa, sebaliknya menjadi medan untuk menyuntik inspirasi, mengukuhkan iltizam serta memperteguh ukhuwah dalam kalangan penulis yang berjuang memartabatkan penulisan dakwah sebagai medium mendekatkan masyarakat kepada Allah.

ABN
Pasukan Unit Video ABN yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bersama Bonda Nor.

“Melalui penganjuran program ini, ia menjadi platform meraikan pencapaian sepanjang tahun 2025 serta merangka hala tuju dan strategi perjuangan bagi tahun 2026.

“Terima kasih buat para penulis ABN yang masih setia dan terus percaya. Insya-Allah, kita akan terus berusaha menyumbang sesuatu buat ummah menerusi bidang penulisan dakwah,” katanya lagi.

Antara tajuk yang bakal menarik perhatian pembaca termasuk Al Wahan/Cinta Dunia tulisan Bonda Nor sendiri, diikuti Panjang Angan-Angan (Prof Dr Siti Rugayah Tibek); Ghibah (Ammar Kamilin); Gila Glamour (Dr Nadhirah Muhammad Arib); Suka Berlebihan (Annur Razidah); Takabbur (Aziana AR); Meremehkan Dosa Kecil (Mawar Nafastari); Sum’ah (Intan Suraini) dan Tajassus (Haryati Hamim).

ABN
Sebahagian penulis wanita ABN yang komited berjuang melalui penulisan dakwah santai tanah air.

Dalam pada itu, Bonda Nor turut menasihatkan barisan penulis ABN agar tidak jemu berkarya dan berusaha menjadikan penulisan sebagai bekalan berharga untuk akhirat.

Ditubuhkan sejak 2018, ABN telah melahirkan puluhan karya dan buku antologi dakwah santai di bawah terbitan Bonda Nor Sdn Bhd dan Galeri Ilmu Media Group, sekali gus menjadi jambatan yang mendekatkan pembaca dengan Allah SWT melalui bahasa yang ringan, menyentuh dan membina jiwa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button