
Bonda Nor: Inspirasi kejayaan penulis, pendakwah berjiwa besar
DALAM dunia penulisan di Malaysia, nama Bonda Nor tidak asing lagi sebagai figura yang sering memberi inspirasi buat khalayak.
Beliau bukan sahaja seorang penulis prolifik malah juga seorang usahawan dan pendakwah yang membawa pembaharuan melalui Kaedah Membaca Ekspres-i dan jualan buku melalui syarikatnya, Bonda Nor Sdn Bhd.
Malah, kredibiliti Bonda Nor turut mendapat pengiktirafan apabila menjadi Penerima Anugerah Pilihan Pembaca Popular Berita Harian 2017 & 2018 serta Anugerah Influencer Penulisan Terengganu 2022.

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan merupakan anak kelahiran bumi Hang Tuah yang memulakan langkah dalam dunia penulisan dengan karya-karya yang membawa mesej ketuhanan, kekeluargaan dan motivasi.
Saya Tunggu Awak lonjak nama
Novel pertama beliau, ‘Saya Tunggu Awak’ dihasilkan selepas mengikuti daurah pengajian kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali oleh Almarhum Syeikh Fahmi Zamzam Al-Banjari, seorang tokoh ulama terkenal dari Indonesia.
“Ada yang panggil itu novel air mata. Ada yang panggil ia novel lejen. Apa yang pasti, itulah karya kreatif saya yang pertama. Alhamdulillah, itulah novel tarbiah yang telah melonjakkan nama Bonda Nor dalam bidang penulisan kreatif hingga mencapai jualan best-seller.

“Allahuakbar. Almarhum Syeikh Fahmi merupakan tuan guru dan murabbi yang sangat saya hormati. Disebabkan beliaulah saya garapkan watak dan ilmu yang disampaikan dalam naskhah ‘Saya Tunggu Awak’.
“Sungguh, saya menjadi saksi segala adab dan kebaikannya,” jelas Bonda Nor kepada Malaysia Tribune.
Dikenali dengan gaya bahasa yang santai tetapi penuh hikmah, karya-karya Bonda Nor mudah mendapat tempat di hati para pembaca dari pelbagai lapisan usia.
Siri ‘Pujuklah Hati’ contohnya, turut menjadi buku motivasi pilihan ramai dan memberi kekuatan buat mereka yang berdepan ujian kehidupan.

Tulis kerana Allah
Menurut Bonda Nor, dalam arena penulisan dakwah, beliau sering mengingatkan para penulis baharu dan anak didiknya dengan tagline ‘Tulislah! Bina bekalan untuk kau tinggalkan.’
“Semua orang layak menjadi penulis selagi mana ada sesuatu bermanfaat yang mahu dikongsikannya. Sebab itu saya tekankan setiap daripada kita adalah pendakwah kerana kita khalifah Allah.
“Saya percaya dengan konsep menulis dari hati, pasti akan sampai ke hati. Justeru, tulislah kerana Allah, kerana Tuhan. Ia dakwah yang mampu memberi pahala berpanjangan,” ungkap Bonda Nor lagi.

Telah menghasilkan lebih 100 naskhah buku-buku motivasi kehidupan dengan mesej mendalam tentang kehidupan dan hubungan dengan Tuhan, keberkesanan karya-karya Bonda Nor tidak terhenti di situ.
Sebaliknya beliau terus istiqamah berjuang di pentas dakwah melalui jemputan sebagai penceramah motivasi dan mengadakan pelbagai bengkel penulisan sekali gus menjadikan suaranya lebih lantang dalam menyebarkan dakwah dan ilmu.

Kaedah Membaca Ekspres-i harta paling berharga
Salah satu kejayaan terbesar Bonda Nor adalah memperkenalkan Kaedah Membaca Ekspres-i yang membantu anak-anak mengenal huruf dan membaca dengan lancar seawal usia tiga tahun.
“Sebenarnya kaedah ini Allah telah ilhamkan kepada saya ketika nak mengajar anak kedua membaca. Sejak tahun 2007, ia telah dibukukan dan syukur manfaat daripada kaedah membaca ini telah tersebar ke seluruh negara.

“Sehingga kini, melalui pasukan Ekspres-i United, kami telah mempunyai 44 orang speaker dan lebih 400 fasilitator yang membuka pusat membaca di seluruh negara yang sentiasa bersemangat berkongsi kaedah ini kepada khalayak.
“Set modul pembelajaran melalui kaedah ini sangat menarik, bahkan konsep fun learning yang digunakan juga sangat menyeronokkan. Belajar sambil menyanyi dan beraktiviti dalam dwibahasa, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Senang cerita, konsepnya belajar macam tak belajar,” terang Bonda Nor.
Tambah ibu kepada tujuh cahaya mata itu lagi, beliau telah melatih pasukan tersebut dengan niat agar ilmu bermanfaat yang dikongsi akan dapat diteruskan dan diuruskan dengan baik selepas beliau meninggal dunia nanti.

“Kematian itu sentiasa mendatangi. Oleh sebab itu, saya perlu bersedia dengan bekalan yang mampu memberikan pahala berpanjangan selepas kematian. Salah satunya yang Nabi SAW sabdakan ialah melalui ilmu yang bermanfaat,” tutur Bonda Nor sebak.
Sementara itu, pemenang anugerah Speaker Terbaik Ekspres-I United 2024, Cikgu Huzaini Amir berkata, kaedah tersebut telah banyak membantunya mendidik anak-anak untuk belajar membaca.
“Banyak masalah yang saya hadapi dalam dunia bacaan dapat diselesaikan dengan sekelip mata. Bila kenal kaedah ini, tergerak hati pula untuk mengenal siapa penciptanya kerana kaedah ini sangat berbeza dengan kaedah yang sedia ada.

“Ini kerana ilmu kalau hendak diamalkan, sebaiknya perlu ada sanadnya. Alhamdulillah, dalam mencari sanad kaedah membaca ini, saya bertemu dengan empunya ilmu. Dari situlah bibit-bibit perkenalan bersama Bonda Nor tercipta. Sehingga ke hari ini, saya dan isteri akan tetap bersama beliau dalam memperjuangkan apa yang dibawanya,” kongsi Cikgu Huzaini yang menetap di Pulau Pinang.
Syarikat dengan misi dakwah
Dalam pada itu, menyedari potensi besar dalam dunia penerbitan dan penjualan buku, Bonda Nor telah menubuhkan syarikatnya sendiri.
Bermula dengan Bonda Nor Resources, kini ia telah dinaiktaraf menjadi Bonda Nor Sdn Bhd.
Ujar beliau, syarikat itu bukan sekadar platform untuk menerbitkan karya sendiri, tetapi juga menjadi wadah untuk membantu penulis-penulis baharu menghasilkan karya berkualiti.

Melalui syarikat tersebut, Bonda Nor telah mengangkat martabat buku-buku motivasi Islami dan dakwah santai di pasaran tempatan.
Dengan pemasaran strategik dan pendekatan mesra pelanggan, Bonda Nor Sdn Bhd. berjaya mencapai jualan yang memberangsangkan, sekali gus membuktikan bahawa buku yang membawa nilai dakwah mampu mendapat tempat di hati pembaca.

Inspirasi untuk generasi muda
Menyelusuri jatuh bangun seorang Bonda Nor, beliau menjadi contoh nyata bahawa kejayaan tidak hanya bergantung pada keuntungan material semata-mata, tetapi pada sejauh mana usaha itu memberi manfaat kepada ummah.
Melalui beliau mengajar kita bahawa penulisan bukan sekadar seni, tetapi juga alat untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang mati.
Dengan dedikasi beliau dalam mendidik generasi muda melalui buku dan ceramah motivasi, Bonda Nor telah meletakkan satu tanda aras baharu dalam dunia dakwah kontemporari.

Usahanya menjadi inspirasi kepada ramai penulis muda yang ingin menyampaikan mesej Islam secara kreatif dan bermakna.
Kejayaan Bonda Nor bukan hanya dalam dunia penulisan, tetapi juga dalam membina legasi yang memanfaatkan ramai orang.
Kaedah Membaca Ekspres-i, Akademi Bonda Nor dan syarikat Bonda Nor Sdn Bhd. yang disangga oleh pasukan Dropshipper Bonda Nor adalah bukti kecekalan dan visi beliau dalam menggabungkan ilmu, dakwah dan perniagaan.

Dengan segala usaha yang telah dilakukan, Bonda Nor membuktikan bahawa seorang wanita Muslimah mampu mencapai kejayaan luar biasa, asalkan disertai dengan niat yang tulus dan usaha yang tidak pernah mengenal lelah.
Seperti mana kata yang sering dinukilkan beliau: “Ujian pada dakwah itu bukan pada lelah, tapi pada Lillah.”

Masya-Allah, tabarakallah. Semoga Bonda Nor terus diberi kekuatan untuk memberi manfaat kepada ummah dan melahirkan lebih ramai individu yang mencintai ilmu dan kebaikan kerana Allah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |