BERITA SEMASA

Agong sempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet ATM 2025

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2025.

Istiadat penuh itu berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, melibatkan seramai 509 Pegawai Kadet ATM daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Upacara itu merupakan pengiktirafan rasmi kepada Pegawai Kadet yang telah menamatkan latihan ketenteraan, menandakan permulaan tugas dan tanggungjawab sebagai Pegawai Muda ATM.

Ia turut mencerminkan komitmen ATM dalam melahirkan kepimpinan tentera yang berwibawa, berdisiplin serta berintegriti tinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

Perbarisan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Fazril Azim Shaharuddin manakala tujuh Pegawai Kadet turut menerima Anugerah Pedang Kehormat dan Piala Khas sebagai penghargaan atas pencapaian cemerlang mereka sepanjang latihan.

Antara penerima anugerah terbaik ialah Lt M Muhamad Amir Akhtar Saiful Azmi Terbaik Keseluruhan (ALK); Lt M Adam Daniel Suhaily Terbaik TDM (ALK); Lt M Azrul Naiem Shah Amer Terbaik TLDM (ALK); Lt M Fazril Azim Shaharuddin Terbaik TUDM (ALK); Lt M Mohamad Syahmezan Amat Terbaik TDM (ATD); Lt M Ayman Saharuddin Terbaik TLDM (KDSI I) dan Lt M Muhamad Shahrul Amran Terbaik TUDM (KTU-SLP)

Turut hadir menyaksikan istiadat ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta ketiga-tiga Panglima Perkhidmatan.

Majlis kemudian diteruskan di Dewan Tun Templer, Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), bagi upacara Pengurniaan Watikah Tauliah yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Seramai 509 Pegawai Muda telah ditauliahkan terdiri daripada 295 Pegawai Muda Tentera Darat Malaysia (TDM), 114 Pegawai Muda Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 100 Pegawai Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)

Majlis turut menyaksikan bacaan Ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh Pegawai Muda yang ditauliahkan sebagai simbolik iltizam dan kesetiaan mereka untuk mempertahankan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button