BERITA SEMASA

Agong sempurnakan Istiadat Mengarak Panji-Panji sempena Hari Keputeraan Rasmi

PUTRAJAYA – Sultan Ibrahim berkenan berangkat menghadiri Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, hari ini sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, di sini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada pukul 8.45 pagi disambut dengan nyanyian lagu Negaraku sebelum diikuti 21 das tembakan kehormatan yang dilepaskan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) di bawah pimpinan Mejar Hafizan Mat Ghani, memetik laporan BERNAMA.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan memeriksa perbarisan kehormatan yang melibatkan 25 pegawai serta 510 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perbarisan tersebut diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Azlan Shah Baharom.

Walaupun cuaca hujan renyai dengan suhu sekitar 26 darjah Celsius, istiadat berlangsung dengan lancar dan penuh istiadat ketenteraan.

Majlis yang bermula seawal pukul 7.50 pagi itu turut diserikan dengan persembahan gabungan Pancaragam Pusat ATM yang dipimpin Leftenan Kolonel Muhamad Nor Azizan Yahya, menampilkan beberapa lagu patriotik bagi menyemarakkan semangat kenegaraan dan penghormatan kepada Seri Paduka Baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button