AGAMABERITA SEMASA

Jabatan Mufti Pahang beri amaran fahaman ‘New Age’ meresap dalam program motivasi

KUANTAN – Jabatan Mufti Negeri Pahang memberi peringatan terhadap penularan fahaman ‘New Age Movement’ yang didapati semakin menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam, khususnya melalui platform seperti program motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan kerohanian.

Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, gerakan tersebut membawa unsur-unsur yang jelas bercanggah dengan akidah Islam termasuk fahaman pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama, serta penyelewengan terhadap wahyu dan syariat.

Menurut beliau, fahaman berkenaan mudah meresap melalui kursus pembangunan kendiri, seminar ‘healing’ dan latihan minda yang pada zahirnya kelihatan neutral, namun sebenarnya menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Umat Islam perlu berwaspada terhadap sebarang program yang menggunakan unsur metafizik dalam pengisiannya sekiranya ia tidak berlandaskan ajaran Islam yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pendekatan Sufisme Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berteraskan al-Quran, al-Sunnah dan warisan ulama muktabar adalah jalan sebenar dalam memenuhi keperluan kerohanian umat Islam.

Baca juga : JAKIM, pihak berkuasa agama Selangor siasat program motivasi didakwa bercanggah ajaran Islam

Jelasnya, pendekatan psikospiritual tasawuf seperti amalan tazkiyah al-nafs, zikir, muraqabah dan pengenalan terhadap maqam-maqam kerohanian merupakan alternatif yang seimbang untuk menangani kekosongan jiwa manusia moden.

“Ia bukan sahaja menjaga akidah, malah mendidik jiwa agar kembali kepada Allah SWT dengan adab dan rasa kehambaan,” katanya.

Sehubungan itu, umat Islam disarankan supaya merujuk kepada Jabatan Mufti bagi mendapatkan nasihat yang tepat berhubung sebarang kekeliruan berkaitan program motivasi, pembangunan diri, spiritual dan seumpamanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button