Aerotrain KLIA dihenti sementara susulan takungan air di terowong
SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan sementara pagi tadi susulan takungan air di laluan terowong tren akibat hujan lebat.
Menurut kenyataan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), kerosakan teknikal pada salah satu pam saliran sekitar pukul 11 pagi dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan sistem saliran automatik di laluan terowong Aerotrain.
“Sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan air dilakukan secara manual serta memastikan laluan benar-benar selamat sebelum operasi disambung,” katanya hari ini.
Susulan insiden itu, perkhidmatan aerotrain disambung semula pada pukul 12.15 tengah hari selepas mendapat pengesahan keselamatan daripada pasukan teknikal.
“Sistem saliran terowong memang direka untuk hadapi cuaca buruk, namun insiden hari ini berpunca daripada kerosakan pam yang kini sedang dibaiki.
“Sepanjang tempoh gangguan, penumpang tetap dibawa ke Terminal Satelit menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik tanpa sebarang gangguan operasi,” ujarnya.
Sementara itu katanya, pasukan teknikal terus memantau sistem secara rapi sepanjang fasa awal pengoperasian Aerotrain bagi memastikan perkhidmatan kekal selamat.
“Kami berterima kasih kepada semua penumpang atas kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan sepanjang gangguan sementara ini berlaku,” ujarnya.
Untuk rekod, Aerotrain KLIA kembali beroperasi pada 1 Julai lalu selepas kerja naik taraf selama 28 bulan membabitkan kos RM456 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menaiki tren itu pada hari pertama operasinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








