ADUN Gombak Setia dilepas, dibebaskan daripada tuduhan timbul kegentaran awam
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membuat kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam melalui aplikasi TikTok.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ketua Armada BERSATU berkenaan, memetik laporan Metro Online.
Kes itu sebelum ini mendapat perhatian selepas Muhammad Hilman dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 20 Ogos tahun lalu atas pertuduhan berhubung kenyataan yang dimuat naik di akaun TikTok pada Julai tahun sama.
Muhammad Hilman didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau didakwa membuat kenyataan menerusi akaun TikTok ‘alfah.channel.tv’ yang didakwa berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam sehingga boleh mendorong mana-mana individu melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Kenyataan berkenaan terkandung dalam video yang memaparkan ucapan Muhammad Hilman ketika Himpunan Malam Solidariti Tolak Akta Hasutan pada 29 Julai tahun lalu.
Himpunan itu dianjurkan bagi membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 terhadap pemimpin politik dan aktivis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





