Achraf Hakimi dinobat Pemain Terbaik Afrika 2025
RABAT – Kapten Maghribi, Achraf Hakimi, muncul pemenang Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Afrika 2025 selepas melalui musim cemerlang bersama Paris Saint-Germain (PSG), termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara UEFA.
Pemain berusia 27 tahun itu turut membantu PSG memenangi gelaran Ligue 1 keempatnya, selain meraih Piala Perancis dan Piala Super UEFA.
Bagaimanapun, PSG terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Piala Dunia Kelab selepas tewas pada aksi final di New York.
Hakimi menewaskan dua bekas pemenang, Mohamed Salah (Mesir) dan Victor Osimhen (Nigeria), sekali gus membawa pulang trofi berprestij itu buat pertama kali dalam kariernya.
“Ia satu penghormatan besar untuk berada di sini dan saya bangga menerima anugerah ini.
“Trofi ini bukan untuk saya seorang, tetapi untuk semua lelaki dan wanita Afrika yang mempunyai impian dan bercita-cita menjadi pemain bola sepak,” memetik laporan NST.
Hakimi kini sedang pulih daripada kecederaan buku lali yang serius, namun dijangka kembali bersama Maghribi selaku tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika bermula 21 Disember, ketika mereka memburu kejuaraan pertama sejak 1976.
Dalam kategori pemain wanita, Ghizlane Chebbak dari Maghribi dinobatkan sebagai Pemain Wanita Terbaik Afrika, mengatasi rakan senegaranya Sanaa Mssoudy dan bintang Nigeria, Rasheedat Ajibade.
Chebbak sebelum itu muncul penjaring terbanyak Piala Negara-Negara Afrika Wanita tahun ini.
Upacara anugerah turut menyaksikan Maghribi menguasai banyak kategori. Yassine Bounou dipilih sebagai Penjaga Gol Lelaki Terbaik, manakala skuad bawah 20 tahun Maghribi yang menjuarai Piala Dunia dinamakan Pasukan Kebangsaan Lelaki Terbaik.
Pemain Watford berusia 20 tahun, Othmane Maamma dari Maghribi, meraih gelaran Pemain Muda Lelaki Terbaik, manakala Doha El Madani mengekalkan gelaran Pemain Muda Wanita Terbaik.
Jurulatih Cape Verde, Bubista, pula membawa pulang Anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik selepas melakar sejarah layak ke Piala Dunia 2026, sementara penjaga gol Nigeria, Chiamaka Nnadozie, memenangi Anugerah Penjaga Gol Wanita Terbaik buat kali ketiga berturut-turut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
