Abdullah Sani akui ditawar jutaan ringgit tinggalkan PKR
CYBERJAYA – Bekas Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengakui ujian terbesar yang pernah diterimanya sepanjang berkecimpung dalam arena politik adalah ditawarkan jutaan ringgit bagi meninggalkan PKR.
Namun, beliau memilih untuk menolak tawaran tersebut, kerana baginya, prinsip dan integriti adalah nilai yang tidak ternilai dan menjadi benteng utama menolak tawaran lumayan itu.
“Saya memilih untuk kekal setia bersama PKR, parti yang memperjuangkan keadilan sosial, hak rakyat serta reformasi institusi.
“Kesetiaan ini bukan hanya sekadar pada nama, tetapi saya buktikan melalui tindakan sepanjang berada dalam perjuangan parti,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau sebelum ini sudah mengumumkan kesediaannya bertanding sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti tahun ini.
Jelas beliau, keputusan untuk menawarkan diri sebagai calon MPP dibuat selepas mempertimbangkan pandangan rakan-rakan dan pucuk pimpinan parti.
“Saya dengan rendah diri memohon sokongan daripada semua perwakilan agar diberikan ruang dan peluang untuk menganggotai MPP PKR demi membawa parti ini ke satu aras yang lebih baik,” katanya lagi.
Abdullah Sani sebelum ini dikenali sebagai antara tokoh veteran dalam PKR yang lantang bersuara memperjuangkan agenda reformasi sejak awal penubuhan parti.
Pemilihan PKR 2025 dijangka menjadi medan penting bagi barisan kepimpinan baharu menentukan hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







