BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Fahmi beri amaran penyebar bahan penderaan seksual kanak-kanak akan ditangkap

KUALA LUMPUR – Pelaku yang terlibat dalam penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM) kini boleh ditahan susulan pindaan undang-undang yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penyalahgunaan rangkaian komunikasi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian untuk penghantaran kandungan yang melanggar undang-undang termasuk CSAM merupakan satu kesalahan boleh tangkap (seizable offense).

“Dari segi kandungan CSAM, sebarang penyalahgunaan rangkaian untuk penghantaran kandungan yang melanggar undang-undang termasuk CSAM, pelaku boleh ditahan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Keselamatan Internet di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, sebelum ini undang-undang tidak membenarkan penahanan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, namun pindaan yang dilakukan kini membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku CSAM dan pedofilia.

“Kita telah pindah undang-undang supaya mereka yang terlibat dalam aktiviti CSAM dan pedofilia boleh ditangkap sekarang. Kalau dulu undang-undang tidak membolehkan berdasarkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, tapi sekarang boleh ditangkap,” ujarnya.

Beliau berkata, klausa di bawah akta berkenaan kini telah digunakan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah D11 Bukit Aman, dalam melaksanakan siasatan dan penguatkuasaan.

“Kerajaan pada masa sama menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh aspek keselamatan internet selaras dengan peningkatan risiko jenayah siber,” ujar Fahmi lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button