LUAR NEGARA

Bekas Emir Qatar, Sheikh Hamad meninggal dunia pada usia 74 tahun

DOHA – Bekas Emir Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani dilaporkan meninggal dunia pada usia 74 tahun, hari ini.

Menurut laporan Al Jazeera, khabar duka itu diumumkan oleh Amiri Dewan iaitu Pejabat Emir Qatar.

Dalam satu kenyataan rasmi, Amiri Diwan menyatakan rasa dukacita atas pemergian Sheikh Hamad yang dikenali sebagai Bapa Emir Qatar.

“Dengan hati yang reda menerima ketentuan dan takdir Allah, Amiri Diwan merakamkan dukacita yang amat mendalam atas kehilangan besar buat negara ini dengan pemergian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Bapa Emir, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh baginda. Baginda telah mangkat pagi ini,” menurut kenyataan itu.

Related Articles

Sheikh Hamad memerintah Qatar dari tahun 1995 hingga 2013 dan dianggap sebagai arkitek utama kepada pembangunan pesat negara yang kaya dengan sumber tenaga itu.

Sepanjang pemerintahan baginda, Qatar mencatat kemajuan ketara dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan sekali gus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa.

Pengaruh politik Qatar turut berkembang meliputi Afrika Utara, Asia Barat dan Asia.

Antara pencapaian terbesar negara itu ialah menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022, kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia.

Sheikh Hamad menerima tepukan gemuruh daripada penyokong ketika menghadiri perlawanan pembukaan kejohanan tersebut.

Era pemerintahan baginda turut menyaksikan pelancaran saluran berita antarabangsa, Al Jazeera pada tahun 1996 yang kemudiannya muncul sebagai antara organisasi media paling berpengaruh di dunia.

Dalam aspek pembaharuan politik, Sheikh Hamad memperkenalkan perlembagaan tetap pertama Qatar pada 2004 serta melaksanakan pilihan raya majlis perbandaran yang membolehkan wanita mengundi dan bertanding sebagai calon.

Pada tahun 2013, baginda menyerahkan tampuk pemerintahan kepada puteranya, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani yang ketika itu berusia 33 tahun.

Penyerahan kuasa secara sukarela itu merupakan satu langkah yang jarang berlaku dalam kalangan pemerintah monarki di rantau Teluk Arab.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button